Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ada kawan yang beragama islam telah terlanjur dengan perempuan bukan islam..
Perempuan itu sekarang telah hamil 7 bulan...apa yg perlu kawan saya lakukan...dia hendak bertanggungjawab...
1) jika dia nak masuk islam dan bernikah...perlu sebelum melahirkan anak itu atau seelepas melahirkan
2) Apa status agama anak itu
3)Adakah anak itu dikira anak luar nikah...walaupun ibunya bukan beragama islam
Jawapan
Setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan, dan taubat adalah jalan yang Allah SWT sediakan untuk hamba-Nya menginsafi dan menyesali serta kembali kepada Allah SWT dengan sepenuh jiwa. Ini sebagaimana hadis daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Setiap manusia pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat. (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibnu Hibban)
Tindakan kawan saudara untuk bertangunggjawab itu adalah tindakan yang terpuji dan Islam menganjurkan hambanya segera bertaubat dari kesalahan yang mereka lakukan sebagaimana hadis yang dijelaskan di atas dan yakinlah bahawa taubat yang konsisten akan dapat mendorong kita untuk tidak melakukan maksiat kepada Allah SWT dan memotivasi diri untuk suka dan gemar melakukan amal ibadah kerana Allah SWT.
Menjawab pertanyaan saudara di atas :
a) Jika wanita tersebut masuk Islam dan ingin berkahwin dengan pasangannya itu maka tidaklah perlu menunggu sehingga dia melahirkan anak baru boleh bernikah.
b) Anak tersebut adalah anak tidak sah taraf atau anak luar nikah, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Garis Panduan Mengenai Anak Tidak Sah Taraf Menurut Hukum Syara yang telah diwartakan pada 28 April 2005, sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara ialah :
(1) Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara sainifik yang bertentangan dengan hukum syara’.
(2) Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat.
(3) Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari segi waktu “Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara’.
c) Berkaitan status anak luar nikah dari perempuan yang bukan Islam, ia boleh dirujuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan maklumat dan pengesahan lanjut.
Sekian, terima kasih