Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ada persoalan mengenai darah haid dan darah fasad. Sebelum ini saya ada mengambil pil perancang kerana ketidak aturan haid saya. Walau bagaimanapun sewaktu saya berhenti mengambil ubat tersebut saya mendapati waktu haid tiba semakin lama semakin cepat utk 3 bulan berturut( Tidak cukup syarat 15 hari suci).
Oleh itu, saya yakin itu ialah haid kerana perubahan dari berhenti pengambilan pil perancang. Walau bagaimanapun terdapat pendapat mengatakan bahawa perlu suci 15 hari antara 2 haid. Jadi terjadinya kekeliruan apabila saya mendapati haid saya 3 bulan berturut2 (3 bulan seterusny)tiba dalam tempoh 11/12hari suci. Oleh itu saya berasa keliru utk mengambil kira sebagai darah haid atau darah fasad.
Mohon penjelasan mengenai hal ini.
Terima kasih
Jawapan
Seseorang wanita yang mengambil pil perancang adakalanya mengalami perubahan hormon yang menyebabkan berlaku kekeliruan apabila darah yang keluar menjadi tidak menentu. Seseorang yang mengalami darah yang keluar melebihi 15 hari 15 malam dan berturut-turut selama 3 bulan atau darahnya keluar semula dalam tempoh tidak melebihi tempoh minimum suci 15 hari 15 malam. Hal ini menunjukkan darah yang keluar tersebut berlaku percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Jadi, untuk menentukan perbezaan darah tersebut, ia boleh dibezakan dengan dua kaedah tersebut:
Kaedah Tamyiz: iaitu dengan membezakan jenis darah yang keluar sama ada darah kuat atau darah lemah. Darah kuat dianggap sebagai haid manakala darah lemah dianggap sebagai darah istihadhah. Sebagai contoh: Darah kuat iaitu hitam pekat atau merah pekat keluar selama 8 hari manakala darah merah lemah, coklat atau kekuningan keluar selama 23 hari. Maka 8 hari tersebut merupakan darah haid dan 23 hari tersebut adalah darah istihadhah atau suci.
Kaedat adat: Iatu mengikut adat kebiasaan haidnya sebelum mengambil pil perancang. Jika kebiasaan haidnya 7 hari, dan 24 hari adalah suci, maka darah yang keluar pada bulan seterusnya boleh mengikut adat haid bulan sebelumnya.
Apabila perbezaan tersebut dapat dikenalpasti, puan boleh menentukan antara darah haid dan istihadhah untuk melakukan tindakan selanjutnya seperti waktu yang dikehendaki untuk mandi wajib apabila hendak menunaikan solat dan ibadah lain yang bukan larangan bagi wanita yang sedang berhaid. Bagi mengenalpasti hari yang tepat bagi menentukan haid atau istihadhah, puan perlu menghubungi pihak Jabatan bagi memberi penerangan lanjut berkaitan situasi puan atau merujuk kepada mana-mana asatizah yang berkelayakan untuk memberi hukum berkaitan perkara ini.
Sekian. Terima kasih.