Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM APAKAH HUKUM MEMBOIKOT PERNIAGAAN GISB?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:
Global Ikhwan Sendirian Berhad Holdings (GISBH) merupakan satu kumpulan yang dikaitkan dengan beberapa ajaran yang telah difatwakan sebagai menyeleweng sebagaimana yang dinyatakan dalam Fatwa Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam tahun 1994 (Rujuk https://www.muftiselangor.gov.my/en/2023/10/28/pindaan-fatwa-tentang-fahaman-dan-ajaran-yang-dipegang-oleh-kumpulan-al-arqam-pimpinan-haji-ashaari-muhammad/) dan juga Fatwa Syarikat Rufaqa' Corporation tahun 2006 (Rujuk: https://www.muftiselangor.gov.my/en/2023/10/28/usaha-usaha-menghidupkan-semula-al-arqam-melalui-syarikat-rufaqa-corparation-sdn-bhd-src-dan-rangkaian-syarikat-gabungan/). Terdapat beberapa penyelewengan berkaitan akidah, fekah, tasawuf dan juga isu-isu kemanusiaan dan perundangan seperti eksploitasi kanak-kanak, tidak membayar gaji pekerja dan lain-lain. Perkara ini boleh dirujuk pada fatwa yang diwartakan oleh Negeri Selangor berkaitan kumpulan ini sila rujuk pautan berikut (https://www.muftiselangor.gov.my/2024/10/17/fahaman-ajaran-pegangan-atau-amalan-global-ikhwan-servicesand-business-holdings-sdn-bhd-gisbh-danrangkaiannya/)
Sehubungan dengan itu, memboikot perniagaan GISB dengan niat agar kumpulan ini tidak hidup termasuk dalam perkara mencegah kemungkaran dan tidak menyokong kezaliman sebagaimana yang disebutkan dalam Firman Allah SWT dalam surah ِAl-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Islam tidak menyokong apa-apa bentuk kezaliman sama ada ia dilakukan oleh orang Islam atau orang bukan Islam kerana ia melibatkan soal keadilan dan kemanusiaan yang dijaga oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, perbuatan boikot ini perlulah disertakan dengan niat yang baik, cara yang betul serta tidak dilakukan secara berlebih-lebihan agar tidak membawa kepada keburukan yang lebih buruk kepada umat Islam.
Sekian, terima kasih.