Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya berkerja di sebuah syarikat gym dan fitness sebagai seorang eksekutif kewangan yang ditugaskan untuk menguruskan akaun syarikat kami. Selain daripada gym dan fitness, syarikat kami juga ada sebuah restoran yang berasaskan makanan sihat. Di restoran tersebut, kami ada menjual minuman yang mengandungi alkohol. Apakah hukum untuk seseorang menguruskan akaun syarikat yang menjual minuman yang mengandungi alkohol ? Terima kasih
Jawapan
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat al-Tirmizi)
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pada dasarnya kerjaya sebagai Eksekutif Kewangan di syarikat gym dan fitness adalah halal dan baik. Walau bagaimanapun, jika dalam pekerjaan tersebut terdapat unsur yang terkait dengan arak, maka ia perlu diberi perhatian sebaiknya walaupun pada hakikatnya ia di luar kawalan.
Seorang muslim wajib bertaqwa kepada Allah dengan menghindari diri daripada terlibat dengan apa-apa pekerjaan yang melibatkan arak agar tidak dikira bersubahat serta meredhakan perkara yang mungkar. Disarankan supaya dilakukan perbincangan secara baik dengan pihak majikan supaya tidak ada penglibatan dengan arak secara langsung atau tidak langsung. Sekiranya tidak mampu, dicadangkan agar kerja-kerja tersebut dilaksanakan oleh rakan yang bukan muslim atau berusaha untuk mencari tempat kerja yang baru.
Terima Kasih