Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan. Terima kasih kerana sudi untuk meluangkan masa tuan/puan bagi membaca dan menjawab soalan yang saya ajukan. Saya ada kemusykilan tentang hukum sumber pendapatan di sesuatu tempat bekerja. Soalannya jika syarikat A yang pada dasarnya melakukan jualan produk dan perkhidmatan yang baik telah menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan Tiktok untuk membuat hantaran pengiklanan seperti foto atau video di akaun syarikat tersebut yang terdapat seseorang lelaki/perempuan tidak menutup aurat dengan sempurna, adakah tarikan pemasaran yang dibuat untuk menarik minat pengikut akaun tersebut untuk berjual beli dengan syarikat A membuatkan sumber pendapatan syarikat tersebut tidak halal? Dan apakah hukum pendapatan yang diterima oleh pekerja bawahan yang bekerja bersama syarikat tersebut?
Jawapan
Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan, seorang Muslim wajib memastikan sumber rezekinya adalah halal dan bebas daripada perkara syubhah atau haram. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 168:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada rezeki yang baik-baik (halal) yang Kami telah kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu.
Tugas Muslim ialah mencari nafkah dengan cara yang tidak bertentangan dengan syariat. Jika syarikat menggunakan kaedah pengiklanan tidak patuh syarak, individu Muslim yang bekerja di sana mempunyai tanggungjawab untuk menilai sejauh mana penglibatan mereka memberi kesan terhadap dosa atau pahala.
Dalam Islam, mempromosikan sesuatu dengan cara yang melanggar syarak, seperti menggunakan lelaki atau perempuan yang tidak menutup aurat dengan sempurna, merupakan cara pemasaran yang tidak dibenarkan. Ini kerana ia boleh mengundang fitnah atau dosa kepada orang lain yang melihatnya. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Secara asasnya pendapatan syarikat yang datang dari hasil penjualan produk atau perkhidmatan yang halal dan bermanfaat maka hasilnya adalah halal, selagi tiada unsur haram dalam produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Namun, menggunakan cara promosi yang haram boleh menjadikan pendapatan syarikat itu bercampur antara halal dan haram kerana ada unsur dosa dengan cara mendapatkan keuntungan tersebut. Dalam hal ini mereka yang membuat keputusan di dalam syarikat bertanggungjawab serta menanggung dosa atas keputusan untuk menggunakan kaedah pengiklanan yang tidak mematuhi syariat.
Manakala pendapatan para pekerja adalah tertakluk kepada skop kerja yang dilakukan, sekiranya pekerjaan yang dilakukan itu adalah tugasan yang halal seperti mengurus dokumen, jualan produk halal, atau khidmat pelanggan maka pendapatan mereka adalah halal.
Para pekerja jika mampu, boleh menggunakan pendekatan hikmah untuk menyampaikan teguran kepada syarikat, seperti menjelaskan pentingnya kepatuhan syariah dalam strategi pengiklanan. Juga menerangkan tentang keberkatan dalam perniagaan. Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 125:
Maksudnya: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik.
Sekian, terima kasih