Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam Tuan,
Adakah wajib bg saya memberi wang bulanan kepada ibu saya? Ayah saya berkemampuan dan mendapat pencen serta ada membuat sedikit perniagaan.Masalah saya,ayah saya tak memberi wang yg cukup kepada ibu saya.ibu saya selalu memberitahu hal ini.Jadi saya peruntukan sebulan RM 300 untuknya memandangkan saya ada buat sedikit perniagaan.Perniagaan saya merosot sedikit dan saya dah serahkan tapak perniagaan saya kepada tuan kedai.saya saya tidak mempunyai income lain memandangkan saya pun kena langsaikan hutang kereta setiap bulan.wajibkan saya memberi duit pada ibu saya Tuan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan. Berbuat baik kepada ibu bapa adalah wajib sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 23:
Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
Anak-anak adalah wajib memberi nafkah kepada ibu bapa yang miskin, berusia dan tiada pendapatan. Manakala jika ibu bapa yang berkemampuan dan mempunyai pendapatan maka tidak menjadi kewajipan bagi anak-anak untuk memberi mereka nafkah. Perkara ini sepertimana dinukilkan dalam kitab al-Mughni li Ibn Qudamah. Pemberian nafkah kepada ibu bapa merupakan salah satu perbuatan baik yang boleh dilakukan oleh anak-anak sebagai membalas jasa dan pengorbanan ibu ayah membesar dan mendidik anak-anak.
Berdasarkan kepada persoalan puan, sebagai anak tidak kira lelaki atau perempuan sama ada sudah berkahwin atau belum. Anak-anak yang sudah mempunyai pendapatan sendiri harus berbincang dan bersepakat sebaiknya dengan si ayah atau adik-beradik yang lain dalam urusan pemberian nafkah kepada ibu supaya perkara ini tidak terbeban hanya kepada puan sahaja. Semoga dengan bakti puan dengan ibu akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT dan dimurahkan rezeki untuk terus berbakti kepada ibu dengan kemampuan kewangan yang sedia ada walaupun tidak banyak.
Sekian, terima kasih