Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya menjual produk kesihatan yang diperoleh melalui orang tengah yang mengambil stok dari kilang, di mana pengasas produk tidak lagi menghasilkan produk tersebut dikilang tersebut.
Adakah hasil wang dari jualan ini dianggap sebagai wang tidak patuh Syariah (wang shubhah) ? dan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan bahawa pendapatan saya adalah halal dan tidak meragukan?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara dasarnya, menjual produk kesihatan melalui orang tengah walaupun pengasas sudah tidak menghasilkan produk tidak menjadi masalah. Selagimana tiada unsur penipuan atau perkara-perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan juga syariat, maka urusan perniagaan tersebut adalah sah dan hasilny adalah halal. Melainkan, sekiranya didapati bahawa pengasas telah menghentikan penghasilan produk kesihatan kerana terdapat isu dalam ingredient (bahan produk), sama ada ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, atau bahannya terdapat unsur yang tidak menepati syarak mahupun terdapat unsur haram dalam produk seperti khinzir dan arak, maka dalam situasi sedemikian adalah tidak dibenarkan untuk meneruskan jualan produk tersebut.
Sekian, terima kasih