BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, 

Saya Ain.. sy ada soalan sedikit berkenaan puasa ganti.

Begini, situasi ni berlaku semasa ramadhan yg lepas. saya ada gastrik dan saya berpuasa semasa tu

nak dijadikan cerita, sy alami gastrik yg teruk dan angin telah menyebabkan saya mual.

Serta setelah beberapa lama sy tahan rasa mual, saya telah termuntah (asid dlm perut) tanpa sengaja. 

Oleh itu, sy nak tahu, perlukah sy menganti puasa ini?

Jika puasa yg dah btahun tidak bganti, apa yg kt perlu lakukan ya. dan bagaimana menasihati orang yg tidak berpuasa ya?

 

1 lg soalan, dari kwn sy, 

semasa kecil dan belum akil baligh, dia telah mencuri makanan ringan dari kedai runcit, dan skrg kedai itu tidak ada lg. apa yg dia perlu lakukan skrg ya,..dia dah bertaubat & rs serba slh..

 

Harap pihak tuan, dpt membantu sy dgn soalan2 ni

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, 

1. Muntah dengan tidak sengaja tidak membatalkan puasa dan tidak perlu diganti.

Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :

من ذرعه قيء وهو صائم فليس عليه قضاء وإن استقاء فليقض 

Maksudnya : Barangsiapa yang muntah dengan tidak sengaja ketika sedang berpuasa, maka tidak perlu qadha’ baginya dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka ia hendaklah mengqada’ puasanya. (Riwayat Abu Daud)

2. Seseorang yang masih hidup diwajibkan untuk mengqadha’ puasa yang ditinggalkan sebelum Ramadhan tahun berikutnya. Jika terlewat, maka diwajibkan qadha’ dan fidyah (secupak makanan asas) mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Sekiranya puan tidak pasti bilangan hari dan tahun yang ditinggalkan, maka buatlah anggaran bilangan hari dan tahun yang telah ditinggalkan mengikut sangkaannya (kecenderungan) yang paling kuat dan ahwat (lebih berhati-hati). Sebagai contoh, puan tidak tahu berapa hari puan telah tinggalkan puasa, tetapi puan rasa tidak kurang dua minggu (14 hari) selama 10 tahun. Jadi gantilah sebanyak dua minggu (14 hari) dikalikan dengan 10 tahun kerana itu yang diyakini (pasti) dan lebih berhati-hati. Begitulah juga halnya dengan pembayaran fidyah. Bagi urusan dan perkiraan fidyah, puan boleh melayari laman sesawang Lembaga Zakat Selangor di http://www.zakatselangor.com.my/calkulator-zakat/kalkulator-fidyah/ atau boleh terus ke kaunter LZS yang berhampiran untuk keterangan lebih lanjut.

3. Berpuasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi ia adalah peluang untuk membersihkan jiwa, menambah kesabaran, meningkatkan kesihatan dan meraih rahmat Allah. Nasihatilah mereka yang tidak berpuasa dengan menunjukkan contoh yang baik, mengingatkan kesan yang baik bagi seseorang seperti ketenangan jiwa dan kesihatan tubuh badan serta ganjaran yang diberikan Allah. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman bahawa puasa itu untuk-Nya, dan Dia sendiri yang akan memberi ganjarannya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏قال الله عز وجل‏:‏ كل عمل ابن آدم له إلا الصيام، فإنه لي وأنا أجزي به

Maksudnya: Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya, kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan ganjarannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

‏Adapun usaha puan dalam menasihatkan mereka yang tidak berpuasa adalah baik di sisi Allah.

4. Hukum bagi seseorang yang mencuri ketika umurnya belum akil baligh adalah tidak berdosa kerana bukan mukallaf. Namun, harta yang dicuri perlu dipertanggungjawabkan dan dikembalikan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 72

message user image