Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum..
Alhamdulillah saya dan suami dah berkahwin hampir masuk ke tahun yang ke sebelas...tapi baru-baru ni, muncul persoalan mengenai akad nikah kami dahulu...
Awalnya, dah sedia maklum pada tok kadi, mas kahwin dan hantaran, nilainya cuma rm300...
Pada hari akad, tok kadi yang sepatutnya mengakadkan, tidak dapat hadir atas sebab yang tak dapat dielakkan pada pihak beliau. Dan digantikan dengan juru nikah lain.
Sewaktu akad, juru nikah (tok kadi) yang hadir bertanyakan soalan tentang mas kahwin dan hantaran. Ketika itu, pengantin lelaki menjawab cuma rm300. Ditanyakan juga tentang hantaran. Pengantin lelaki menjawab ada dan nilainya rm9000. Dan semua rm9000 tersebut telah dibelanjakan untuk kegunaan kenduri kahwin (baju kahwin, majlis makan minum, goodies bag, emcee majlis dan lain-lain). Hanya rm300 tunai yang tinggal untuk kegunaan akad nikah.
Tok kadi mengatakan perlu masuk dalam akad keseluruhan jumlah tersebut (rm9300) sebagai mas kahwin. Kami akur dan akad nikah pun berjalan.
Namun, persoalan mula terbit baru-baru ini. Sebab ada dikalangan yang terdekat baru saja bernikah. Dan isu ini membangkitkan persoalan dipihak saya.
Adakah sah akad kami tersebut? Sebab mas kahwin yang diakadkan telah dibelanjakan untuk majlis kenduri keseluruhannya sebelum majlis akad diadakan (kecuali rm300).
Mohon pertolongannya untuk memberi penjelasan atas perkara ini. Terima kasih.
Jawapan
Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 31 Disember 2009 memutuskan bahawa : “Menetapkan had minima kadar nilai Maskahwin sebanyak RM 300.00 bagi anak dara atau janda tanpa ada had maksima. Sekiranya terdapat wang hantaran daripada pihak lelaki, ianya dikira sebagai Maskahwin”
Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor di atas, dapat difahami bahawa apa yang dilaksanakan oleh jurunikah atau kadi tersebut adalah bertepatan dengan apa yang dinyatakan dalam fatwa ini, dan pernikahan tuan adalah sah pada hukum syarak. Adapun persoalan terhadap wang hantaran itu yang telah digunakan untuk keperluan majlis akad nikah, ia tidak menjadi permasalahan hukum sekiranya pihak pengantin perempuan redha wang hantaran itu digunakan untuk tujuan tersebut.
Sekian, terima kasih