BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

1.adakah nazar dan janji kepada Allah adalah perkara yang sama

2. Sekiranya seseorang itu pernah melafazkan janji kepada Allah untuk tidak menonton filem dewasa lagi sekiranya dia mendapatkan keputusan peperiksaan cemerlang, namun setelah dia dapatkan itu, dia kemudiannya langgar janji tersebut. Adakah janji ini dianggap sebagai nazar?  dan adakah ia sah? Sebab saya ada baca yang nazar tak sah sekiranya melibatkan benda yang wajib ( contoh macam nazar tak tinggalkan solat kalau dapat yang kita inginkan). Adakah orang tersebut perlu menanggung kafarah tidak melaksanakan nazar?

3. Adakah boleh dia untuk manfaatkan sijil tersebut di kemudian hari?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Nazar dari segi bahasa bermakna janji melakukan sesuatu perkara sama ada baik mahupun buruk. Dari segi syarak pula, ia bermakna janji untuk melakukan sesuatu yang baik sahaja (dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT). Secara umumnya para fuqaha menyatakan, nazar itu bermakna, seseorang yang mewajibkan dirinya melakukan sesuatu ibadah yang pada asalnya tidak pun diwajibkan ke atasnya.

Namun begitu, nazar tidak berlaku dan tidak sah dalam perkara yang berkaitan dengan maksiat, hal ini kerana perbuatan maksiat merupakan larangan yang jelas dan sememangnya perlu ditinggalkan dalam Islam. Maka jalan keluarnya adalah bertaubat secara bersungguh kepada Allah SWT atas kekhilafan yang telah dilakukan. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat ke 135:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Merujuk kepada soalan di atas:
1. Nazar tidak sama dengan janji kepada Allah kerana nazar mempunyai lafaz yang tertentu seperti Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Berbeza dengan janji biasa yang tidak terhad kepada lafaz tertentu.

2. Sekiranya seseorang tidak mengungkapkan lafaz nazar, maka nazar tidak berlaku. Sekalipun jika seseorang mengucapkan lafaz nazar, bernazar bagi meninggalkan perkara maksiat adalah tidak sah kerana perkara maksiat wajib ditinggalkan walaupun tanpa nazar sebagaimana konsep yang diterangkan diatas.

3. Nazar tidak berlaku dan tidak memberi kesan kepada sijil peperiksaan. Sijil atau keputusan peperiksaan yang diperolehi melalui usaha adalah sah dan boleh dimanfaatkan. Keputusan cemerlang tersebut juga tidak bergantung kepada janji atau nazar yang dibuat, tetapi adalah hasil daripada usaha dan kemampuan yang dikurniakan oleh Allah SWT. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 69

message user image