BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

soalan pertama: Assalamualaikum, saya pernah membeli satu produk makanan ini yang pada mulanya saya sedikit was was untuk beli tetapi saya tetap membelinya. Kemudian saya melakukan sedikit research dan membaca kandungan makanan tersebut dan didapati tiada kandungan yang haram. Tetapi saya tetap memakannya dengan sedikit rasa was was. Adakah saya berdosa kerana memakan makanan tersebut?

soalan kedua: Kemudian saya juga baru mendapat info bahawa ada kandungan yang disyaki haram atau haram di dalam produk makanan tersebut. Selain itu, ada juga produk makanan yang dihasilkan oleh syarikat yang sama didapati tidak halal. Adakah saya perlu sertu bekas makanan, dan sponge pencuci pinggan yang telah saya gunakan?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Mencari dan memilih makanan yang halal adalah tanggungjawab bagi setiap orang Islam. Begitu juga tuntutan untuk meninggalkan perkara mahupun makanan yang meragukan kehalalannya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abi Talib, cucu Rasullulah SAW, berkata: Aku telah menghafaz dari Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

Maksudnya: Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau, kepada apa yang tidak meragukan engkau. (Riwayat al-Tirmidhi)

Terdapat juga hadis yang menyuruh menjauhkan daripada perkara syubhah daripada Al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu nyata (jelas) dan yang haram itu pun nyata (jelas), dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (kesamaran), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang syubhah, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara syubhah jatuhlah ia kedalam yang haram. (Riwayat Muslim)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, memakan makanan tersebut adalah termasuk dalam syubhah. Hal ini adalah kerana tidak dapat dipastikan akan kehalalan makanan tersebut walaupun terdapat keraguan akan status kehalalannya. Namun begitu, perbuatan tersebut dimaafkan atas kejahilan diri sendiri. Justeru dinasihatkan agar menghindarkan diri daripada segala perkara yang bersifat syubhah kerana memilih sesuatu yang diyakini halal dan tayyibah adalah satu tuntutan di dalam agama. Di samping itu, bekas-bekas yang digunakan juga tidak perlu disertu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 116

message user image