Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Situasi saya suami tidak mahu bawa bercuti atas alasan dia tidak mampu. Jadi saya bercuti atau staycation selalunya bersama rakan. Konon nyer janji suami dia akan bayar percutian saya atau staycation tu selepas saya guna kan duit saya sendiri. Tapi sekarang dia cakap dia tidak akan bayar sebab bukan termasuk dalam nafkah.
Soalan saya: Betulkah percutian bersama rakan tidak termasuk dalam nafkah walhal suami sendiri tidak bawa isteri bercuti?
Suami pernah check in hotel bersama perempuan lain di mana harga per nite hotel tersebut RM700++. Walhal ketika itu alasan yang sama iaitu tidak mampu bawa isteri bercuti dan tidak pernah memberi nafkah/ehsan duit bulanan. Nafkah wajib juga tidak mencukupi. Bila saya aju kan kepada suami dan tanya kan mengenai hak2 saya yang di belanjakan untuk skandal dia, saya di katakan mengungkit. Dia juga menidakkan hak saya di situ dan saya tidak boleh menuntut harga hotel tersebut.
Soalan saya: Betulkan tiada hak seorang isteri atas perbelanjaan suami bersama skandal?
Betul ke suami juga tidak wajib dan tidak berdosa sekiranya tidak membayar balik segala perbelanjaan yg dikeluarkan untuk skandal kepada isteri?
Jawapan
Kewajipan seorang suami adalah memberi nafkah kepada isterinya dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti makanan, lauk pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu dan suaminya ada kemampuan. Suami juga tidak wajib untuk memberi wang tunai kepada isterinya, ini kerana nafkah yang wajib hanyalah meyediakan nafkah keperluan asas yang disenaraikan oleh ulama sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.
Adapun selain daripada yang dinyatakan di atas adalah atas budibicara dan kemampuan suami. Walau bagaimanapun sebagai suami yang terbaik, mereka seharusnya memberi ruang dan peluang juga untuk bercuti atau melakukan rehlah bersama isteri dan anak-anaknya atau memberi ruang kepada isteri dan anak-anak untuk bercuti sekiranya suami sibuk dengan menampung perbelanjaannya. Ini bagi menyemai rasa kasih sayang dan toleransi antara suami isteri dan anak-anak. Tidak semestinya mewah dan mahal, tapi yang penting ada ruang dan peluang perkara ini dilaksanakan dan dilakukan.
Adapun sekiranya benar berlaku kesalahan dari mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang Islam tetapkan seperti berlaku kecurangan dalam rumahtangga, tidak bertanggungjawab, tidak melunaskan nafkah wajib, berlaku kezaliman dan sebagainya, ia adalah perbuatan dosa dan boleh membawa kepada kemurkaan Allah SWT. Nafkah wajib yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isteri akan menjadi hutang dan boleh dituntut oleh isteri.
Sekian, terima kasih