BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan hukum membina binaan seperti kubah atau makam atau wakaf atau bilik pada kubur wali dan orang soleh. Mohon penjelasan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, menurut mazhab shafi'i hukum sebarang binaan pada kubur adalah makruh jika bertujuan untuk bermegah-megah atau sebagai tanda kemegahan. Jika pembinaan tersebut membawa kepada syirik atau bidaah, hukumnya menjadi haram. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ زَائِرَاتِ الْقُبُورِ وَالْمُتَّخِذِينَ عَلَيْهَا الْمَسَاجِدَ وَالسُّرُجَ

Maksudnya: Allah melaknat wanita yang sering berziarah kubur, dan orang yang menjadikan kubur sebagai tempat solat dan memasang lampu(Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Hadis ini secara umum menunjukkan larangan kepada para wanita menziarahi kubur pada awal penurunan wahyu yang kemudian diharuskan denga tujuan mengingati kematian, hadis ini juga menunjukkan larangan membina sesuatu yang boleh membawa kepada pengagungan melampau terhadap kubur, seperti menjadikannya tempat ibadah khusus. Dalam konteks ini, para ulama secara asas melarang pembinaan di atas kubur kecuali ada keperluan yang sah.

Secara kesimpulannya hukum binaan di atas kubur adalah seperti berikut:

  • Haram: Membina binaan yang membawa kepada pengagungan atau pemujaan kubur atau membuat binaan di atas tanah yang diwakafkan untuk perkuburan orang awam.
  • Makruh: Membina binaan di atas kubur tanpa keperluan.
  • Harus: Membina sesuatu untuk tujuan menjaga kubur daripada rosak atau memberi kemudahan kepada penziarah dengan syarat tidak berlebihan dan tidak membawa kepada syirik.

Namun, penting untuk mengambil kira perbezaan pendapat dalam kalangan mazhab serta mengimbangi tindakan ini dengan larangan syarak terhadap ghuluw (melampau) dan menyerupai amalan yang boleh membawa kepada syirik, seperti yang ditekankan dalam hadis larangan Rasulullah SAW terhadap menjadikan kubur sebagai tempat ibadah. Sebagai umat Islam, kita hendaklah menjaga batas-batas syarak dalam menghormati kubur, khususnya kubur wali dan orang soleh, tanpa melampaui batas yang boleh membawa kepada syirik atau bidaah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 147

message user image