Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya merupakan seorang suami yang baru mendirikan rumah tangga dengan isteri yang berasal dari Johor. Saya ada sedikit kemusykilan berkenaan dengan nafkah tempat tinggal.
Sebelum kami berkahwin, isteri bekerja di Johor. Beliau berasal dari Masai, Johor namun bekerja di Kulai, Johor. Beliau menyewa di Kulai.
Selepas mendirikan rumah tangga, beliau berhasrat mahu berpindah tempat kerja ke Kuala Lumpur, oleh sebab mahu mengikut saya dan menetap bersama di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, isteri masih belum ada rezeki untuk mendapatkan pekerjaan di Kuala Lumpur.
Sementara menunggu panggilan kerja dari Kuala Lumpur, saya dan isteri bersetuju untuk PJJ/ tinggal berasingan buat seketika -- yang mana isteri akan terus menyewa di Kulai.
Soalan saya, oleh sebab belum lagi tinggal bersama, perlukah saya membayar sewa rumahnya di Kulai (sebabnya di KL saya pun sudah membeli rumah yang sedang dibina dan sedang membayar kadar keuntungan bank dan kini menetap di rumah sewa )?
Jawapan
Antara tanggungjawab yang besar bagi suami ialah adalah memberikan nafkah tempat tinggal kepada isteri mengikut kemampuannya. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah SWT dalam surah al Talaq ayat 6 :
Yang maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)”.
Di dalam kitab Fath Al Muin dijelaskan bahawa ciri-ciri tempat tinggal yang wajib disediakan oleh suami kepada isteri adalah yang layak bagi isteri dari sudut adat (terjaga dari pandangan untuk bersama dengan suami) dan yang bersifat aman,harmoni serta selamat dari sebarang bahaya terhadap dirinya dan hartanya ketika suami tidak berada di rumah. Tambahan pula, tempat tinggal ini bukan hanya keinginan bahkan merupakan keperluan bagi isteri, walaupun tempat itu hanya didiami dalam keadaan sewa atau pinjaman.
Namun, sekiranya isteri reda untuk dikurangkan haknya dan dia bersetuju untuk tinggal bersama keluarganya atau menyewa di rumah lain buat sementara waktu maka hal tersebut dibolehkan. Namun sebaliknya jika isteri tidak reda maka suami wajib menyediakan dan membayar sewa tempat tinggal lain itu.
Sekian, terima kasih.