Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya, bagaimanakah cara untuk menyelesaikan masalah perkahwinan bagi pihak ayah saya bersama ibu tiri. Ayah saya merupakan seorang pesakit terlantar dan mengalami strok sebelah kanan dan sudah tidak mampu memberi nafkah kepada ibu tiri. Jadi disebabkan itu, ibu tiri saya keluar bekerja dan menyerahkan tanggungjawab menjaga ayah saya kepada saya dan abang saya. Ayah saya juga kini telah tinggal dengan abang saya hampir 2 bulan dan tidak sebumbung dengan ibu tiri saya atas sebab ibu tiri saya tidak ada masa untuk menjaga ayah saya kerana bekerja. Ibu tiri saya juga telah memaklumkan ingin bercerai dengan ayah saya bagi elak tambah dosa kerana pergi kemana-mana tanpa maklum kepada ayah saya, tapi ayah saya enggan berpisah. Ibu tiri saya juga jarang datang menjenguk serta tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Ada cara ke bagi pihak saya sebagai waris menyelesaikan masalah perkahwinan ini? Terima kasih.
Jawapan
Dalam perkara ini, saudari boleh merujuk kepada Pejabat Agama Islam yang berdekatan bagi membuat aduan dan Pejabat Agama Islam akan memanggil pasangan atau warisnya bagi mendengar dan memberi pandangan yang sesuai terhadap permasalah tersebut.Selain daripada itu, saudari atau pihak keluarga boleh juga berbincang dengan ibu tiri tersebut dengan cara yang baik dan sekiranya tidak berjaya untuk mencari solusi yang terbaik, maka bolehlah kes ini dipanjangkan atau dirujuk ke Pejabat Agama Islam yang berdekatan untuk tindakan lanjut.
Sekian, terima kasih