Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
SAYA INGIN BERTANYA SAYA DAN ISTERI TELAH BERCERAI TALAK SATU DAN KAMI DALAM TEMPOH IDDAH DAN ISTERI SAYA TIDAK TINGGAL DITEMPAT TINGGAL YANG SAYA SEDIAKAN DAN DIA LANGSUNG TIDAK IKUT PERINTAH IDDAH SEPERTI KELUAR RUMAH WAKTU MALAM,KELUAR RUMAH TANPA MEMINTA IZIN SAYA LANGSUNG DAN DIA ADA MEMINTA NAFKAH DIA DALAM IDDAH PADA SAYA..SAYA BUKAN TIDAK BOLEH MEMBERI TETAPI BELIAU LANGSUNG TIDAK TAKUT ATAUPUN KESAH PASAL TEMPOH IDDAH TERSEBUT..APAKAH TINDAKAN YANG PERLU SAYA LAKUKAN KERANA SAYA SANGAT2 BUNTU...
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tersebut, tuan perlu memberi teguran dan menasihatinya. Sekiranya dia berterusan begitu maka dosanya ditanggung oleh dirinya sendiri. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-An'am ayat 164:
Maksudnya : "Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya".
Tuan boleh berhenti memberi nafkah (dalam tempoh iddah) kepadanya sekiranya mendapat kebenaran dari pihak Mahkamah Syariah. Justeru, tuan perlu mengemukakan permohonan kepada pihak Mahkamah Syariah untuk tindakan sedemikian. Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri , dan efek nusyuz, seksyen 60 (2) :-
Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain -
(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain.
tanpa apa-apa sebab dan sah mengikut Hukum Syarak.
Justeru, suami boleh kemukakan perkara ini kepada pihak Mahkamah Syariah berkenaan perkara ini.
Sekian, terima kasih.