Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Ada orang kata pahala yang kita buat di dunia akan dituntut orang lain sampai muflis kecuali pahala selawat kita kepada Rasulullah SAW adakah itu benar?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, segala amalan soleh yang setiap dilakukan di dunia akan mendapat hasilnya di akhirat. Namun begitu, terdapat satu keadaan di mana seorang muslim itu dalam kerugian menjadi muflis ketika menjalani hisab yang berkaitan hak manusia. Hal ini disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham. Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya. (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, difahami bahawa amalan selawat akan diberikan pahala kepada si pelaku dan dikategorikan sebagai amalan soleh. Berdasarkan keumuman hadis yang lalu bahawa segala amalan soleh termasuk amalan selawat akan diambil sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan berkaitan hak manusia (حَقوقُ العِباد) di dunia. Selain itu, tiada dalil nas yang jelas (sarih) secara khusus menyatakan bahawa amalan selawat akan terkecuali. Di samping itu, tidak dinafikan bahawa terdapat kelebihan yang banyak disebalik amalan selawat. Walaupun begitu, Islam menekankan pentingnya menjaga hak sesama manusia (حَقوقُ العِباد). Amalan seperti selawat adalah ibadah khusus antara seorang hamba dengan Allah dan dijaga pahalanya oleh Allah. Akan tetapi, menjaga hubungan baik dengan orang lain tetap harus diutamakan untuk menghindari kehilangan pahala dan menanggung dosa orang lain di akhirat.
Sekian, terima kasih.