Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..
Sy ada beberapa kemusykilan.
1.Sy dapati semasa kencing keluar darah seperti bebenang(kuantiti sedikit) dalam tempoh sekali shj hari itu.kemudian tiada apa2 yg keluar sprti tu dlm tempoh 2hari.selepas hari ke-2 kejadian itu,Sy dtg haid seperti biasa.Adakah hari keluar darah bebenang itu dikira haid?
2.Adakah sudah dikira dtg haid jika selepas kencing Sy bersihkan bahagian intim Sy Dan dapati ada bauan seperti darah tetapi tiada warna atau darah yg keluar,cuma cairan jernih.kemudian Sy solat seperti biasa,beberapa jam slps itu Sy haid.Adakah solat/ibadah Sy sah sebelum itu?
3.Sy dapati darah haid Sy sudah habis pd hari ke-7,sy yakin haid dh habis kerana kluar cairan jernih Dan Sy periksa guna jari ke dlm vagina sedikit Dan dapati tiada darah.slps mandi wajib Sy solat/ibadah seperti biasa..hari ke-9 semasa kencing kluar cairan yg sedikit warna keruh bersama cairan jernih.warna nya agak keruh bkn merah darah.Adakah ia dikira haid?bagaimana solat/ibadah yg Sy lakukan sebelum itu?
Mohon pencerahan.Terima kasih
Jawapan
Secara umumnya, syarat asas haid bagi seseorang wanita adalah mengetahui tempoh minimum haid iaitu sehari semalam atau 24 jam yang bersambung dan berterusan sehari semalam atau 24 jam yang terputus-putus dalam tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam serta tempoh kebiasaan bagi majoriti golongan wanita ialah 7 hari 7 malam. Seseorang wanita dianggap sedang haid apabila syarat-syarat tersebut dipenuhi.
Berdasarkan kepada persoalan:
Bebenang darah yang keluar secara awalnya boleh dianggap darah haid jika darah yang keluar melepasi tempoh suci minimum haid iaitu 15 hari 15 malam atau dalam tempoh waktu yang boleh dihukumkan haid. Melihat keadaan puan, berkemungkinan darah yang keluar adalah haid dan berlaku naqa’ (bersih daripada darah) atau fatrah (situasi darah tidak mengalir keluar, akan tetapi darah masih ada dalam faraj). Menurut kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, Perbezaan antara keduanya iaitu naqa’ syaratnya mesti keluar kapas putih bersih manakala fatrah keluar kapas tercemar dengan darah. Jadi, ulama mazhab shafi’i sepakat mengatakan tempoh fatrah adalah haid. Namun, jika darah yang keluar tidak berterusan atau tidak melepasi tempoh minimum haid 24 jam, ia tidak dianggap sebagai darah haid.
Untuk mengenali darah haid, ia boleh dipastikan dengan mengetahui sifat-sifat darah melalui warna darah (hitam, merah, perang, kuning dan keruh), darah pekat atau cair dan darah berbau kuat dan kurang baunya. Jika dipastikan tiada darah atau warna tersebut ia masih dianggap suci dan belum didatangi haid. Solat yang dilakukan ketika ini adalah sah kerana masih dalam keadaan suci.
Tindakan puan mandi wajib dan solat seperti biasa setelah diyakini darah telah berhenti dan habis haid adalah wajar. Namun pada hari ke 9 darah keluar semula dengan cairan warna keruh dan ia masih dalam tempoh maksimum haid iaitu 15 hari 15 malam, maka darah yang keluar adalah haid selagi mana tidak melepasi tempoh maksimum haid, 2 hari yang tiada darah berlakunya naqa’ dalam tempoh haid.
Sekian. terima kasih.