Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Ustaz,
Kerja saya kadang-kadang kena membuat tempahan penerbangan, book hotel dan sebagainya. Apabila membuat tempahan tersebut, kadang-kadang saya ada menggunakan aplikasi "ShopBack" dimana setiap transksi, boleh dapat cash back. Tapi hanya bila masuk apps shopback itu baru saya boleh dapatkan cash back. Soalan saya, adakah saya boleh menggunakan hasil cash back itu, untuk diri saya sendiri, bukan untuk syarikat. Ini kerana itu adalah inisiatif saya sendiri untuk mendapatkan cash back tersebut. Cash back ini hanya boleh dapat setelah beberapa minggu transaksi itu berlaku. Mohon pencerahan.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat larangan Allah SWT dalam transaksi jual beli sekiranya terdapat unsur-unsur mengambil harta orang lain. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.
Oleh itu, secara zahirnya dari ayat al-Quran di atas, melalui penelitian yang dibuat sekiranya cashback itu terhasil daripada pembelian dari duit syarikat maka ia boleh dikategorikan sebagai sebahagian hasil dari syarikat kerana cashback itu tidak akan terhasil melainkan melalui transaksi yang dibuat menggunakan duit syarikat. Sebaiknya dapatkan penjelasan daripada pihak syarikat tentang dasar atau polisi berkaitan cashback bagi urusan kerja yang menggunakan wang syarikat.
Sekian, terima kasih