BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

saya ada 2 permasalahan disini.

1- Ada sebidang tanah dusun yang ditinggalkan dan keadaannya sangat semak dan ada pokok yang mengeluarkan buah.

    Soalan saya, adakah boleh saya membersihkan untuk tujuan mengelakkan daripada binatang liar dan berbisa dan setelah kebun itu bersih saya menanam pokok dan hasilnya saya makan dan untuk pokok yang sedia ada bolehkah saya memakan hasilnya, Saya tidak tahu siapa tuan tanah kerana tiada sesiapa yang datang ke kebun itu untuk saya bertanyakan.

 

2- Sayang mempunyai isteri lebih dari seorang dan apakah hukum anak2 saya dengan isteri dengan yang pertama dari segi aurat 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Merujuk kepada persoalan yang telah dibangkitkan.

Perbuatan membersihkan dusun yang terbiar, bersebelahan dengan tapak atau rumah sendiri, sehingga mengundang ancaman haiwan liar adalah diharuskan. Perbuatan menanam di tanah terbiar milik orang lain pada asasnya hendaklah mendapat kebenaran daripada pemilik tanah terlebih dahulu. Namun, jika jelas tidak diketahui pemiliknya atau tidak dapat dihubungi setelah dilakukan pelbagai siasatan, maka harus bercucuk tanak di tanah tersebut mengikut kesesuaian jenis tanaman. Perkara ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Samarah bin Jundub RA:

أَنَّهُ كَانَتْ لَهُ عَضُدٌ مِنْ نَخْلٍ فِي حَائِطِ رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ قَالَ وَمَعَ الرَّجُلِ أَهْلُهُ قَالَ فَكَانَ سَمُرَةُ يَدْخُلُ إِلَى نَخْلِهِ فَيَتَأَذَّى بِهِ وَيَشُقُّ عَلَيْهِ فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَطَلَبَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ يَبِيعَهُ فَأَبَى فَطَلَبَ إِلَيْهِ أَنْ يُنَاقِلَهُ فَأَبَى ‏.‏ قَالَ ‏"‏ فَهَبْهُ لَهُ وَلَكَ كَذَا وَكَذَا ‏"‏ ‏.‏ أَمْرًا رَغَّبَهُ فِيهِ فَأَبَى فَقَالَ ‏"‏ أَنْتَ مُضَارٌّ ‏"‏ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِلأَنْصَارِيِّ ‏"‏ اذْهَبْ فَاقْلَعْ نَخْلَهُ ‏"

Maksudnya : Beliau memiliki sederet pohon kurma yang tumbuh di kebun milik salah seorang Ansar. Tempat tersebut didiami oleh orang Ansar tersebut bersama keluarganya. Samurah sering memeriksa pohon-pohon kurmanya, termasuk pohon kurma yang tumbuh di tanah orang Ansar tersebut. Kedatangan Samurah pada tanah tersebut mengganggu dan menyebabkan orang Ansar tersebut merasa tidak nyaman. Orang Ansar tersebut menawarkan kepada Samurah agar menjual pohon kurma tersebut kepadanya. Samurah menolak. Orang Ansar meminta Samurah memindahkan pohon kurmanya. Samurah juga menolak tawaran tersebut. Akhirnya, dia melaporkan permasalahan ini kepada Nabi SWT. Nabi SWT meminta Samurah untuk menjual pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SWT meminta Samurah untuk memindahkan pohon kurmanya. Namun dia menolak, Nabi SWT mengatakan kepada Samurah, “Hadiahkan pohon kurma tersebut kepadanya, dan untukmu ada ganjaran demikian dan demikian.” Nabi SAW sebutkan hal yang disukai oleh Samurah. Samurah tetap menolak, maka Nabi SWT mengatakan, “Engkau ini memang pengganggu!” Nabi SWT lantas berkata kepada si Ansar, “Pergilah! Silakan tebang saja pohon kurmanya!” (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kepada hadis di atas, pemilikan mutlak tanah tersebut adalah  pemilik tanah yang asal. Manakala pemilik pohon tersebut adalah milik penanam pokok tersebut. Hal ini jelas berdasarkan tafsir hadis di atas apabila nabi mengatakan “Pergilah! Silakan tebang saja pohon kurmanya!”. Perkara ini menunjukkan bahawa pemilik tanah dibolehkan untuk menebang pokok tersebut dan memberi pokok yang ditebang tersebut kepada penanam pokok tersebut.

Jika tuan tanah mahu semula tanah tersebut, maka penanam pokok perlu untuk membuang serta membersihkan tanaman tersebut jika tuan tanah berkehendak seperti sedemikian.  Begitu juga sekiranya  terdapat kerosakan pada tanah tersebut, penanam tersebut boleh  dikenakan ganti rugi. Selain itu, tuan tanah juga boleh mengenakan sewa ke atas penanam tanah tersebut selama mana dia menggunakan tanah tersebut jika dia kehendaki.

Berhubung hasil daripada pokok atau tanaman sedia ada, harus diambil bagi mengelakkan pembaziran. Namun sekiranya tuan tanah itu diketahui, wajib untuk meminta izin daripadanya. Sekiranya tuan tanah itu meminta ganti rugi, maka wajib dibayar.

Berkenaan status aurat antara anak-anak lelaki tuan dengan isteri yang lain pula adalah dihukumkan sebagai mahram. Hal ini kerana mahram mengambil hukum seperti anak kandung. Justeru, aurat anak-anak dengan isteri yang lain adalah seperti aurat anak kandung.

Hubungan di antara anak lelaki suami dengan isteri yang lain (ibu tiri) adalah muharram muabbad, iaitu diharamkan untuk berkahwin selama-lamanya, walaupun sekiranya berlaku penceraian di antara bapa dan ibu tiri tersebut. Ini bermakna aurat di antara anak lelaki suami dan ibu tiri adalah seperti aurat ibu kandung.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 82

message user image