Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum WBT Jabatan Mufti Negeri Selangor. Maaf bertanya,
Situasi : saya bermusafir ke kampung saya selama 3 hari dan singgah ke rumah mertua saya (di mukim lain) selama 1 hari 2 malam dan pergi semula ke kampung saya selama 1 hari 2 malam.
*keadaan jarak dari kampung saya ke rumah mertua saya tidak sampai 2 marhalah.
Soalan : adakah boleh saya mengamalkan rukhsah solat jama' qasar ketika saya berada di kampung saya yg selama 1 hari 2 malam tu?
Jazakamulllahu khair..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:
Sekiranya jarak di antara rumah emak di kampung dan rumah mertua tidak melebihi dua marhalah, maka ia dianggap sebagai satu tempat atau tujuan pemusafiran. Jika digabungkan tempoh menginap di rumah emak dan rumah mertua melebihi 3 hari tidak termasuk hari sampai dan hari keluar, maka setibanya di rumah emak dianggap sebagai telah bermukim dan tidak diharuskan untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar.
Berdasarkan kepada situasi yang dinyatakan, tempoh keseluruhan menginap di rumah emak dan mertua telah melebihi 3 hari tidak termasuk hari sampai dan hari keluar, maka tuan tidak diharuskan untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar sebaik sahaja tiba di rumah emak pada hari yang pertama lagi.
Sekian, terima kasih.