BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Asalammualaikum, saya mempunyai soalan yang memerlukan penyelesaian. 1. Selepas kencing, kita perlu berdehem 3kali untuk mengeluarkan sisa kencing yang masih ada, jikalau kencing tersebut sudah dibasuh adakah air yang ada dari kemaluan itu air yang suci, atau masih dikira kencing? 2. Betul ke kita tidak boleh mencampurkan tuala mandian dengan tuala untuk qubul dan dubur? 3. Jika seseorang itu sudah menyucikan kemaluannya, akan tetapi belum mengelap kemaluan hingga ke kaki dan dia keluar dari bilik air lalu terpijak sejadah, adakah tompokan air dari kakinya dikira najis atau air mutlak? 4. Sekiranya seseorang itu ada penyakit waswas yang melampau terutamanya dari sudut kebersihan sebelum solat, bagaimanakah cara untuk atasi segala perasaan tersebut? 5. Apabila seseorang itu dalam keadaan suci, terkena kawasan yang ada period kering sama ada dari cadar atau pakaian, adakah dia perlu mandi wajib? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan:

  1. Apabila diyakini air kencing tersebut telah keluar sepenuhnya dengan berdehem dan telah membasuhnya. Maka air yang terdapat pada kemaluan merupakan kesan air yang digunakan untuk membasuh iaitu air yang suci.

  2. Tiada penetapan untuk menggunakan tuala yang sama atau tidak bagi penggunaan tuala mandian dan tuala yang digunakan untuk mengelap qubul dan dubur, tetapi adalah sebaiknya diasingkan jika tidak meyakini tuala yang digunakan untuk qubul dan dubur mempunyai kesan najis yang boleh terkena pada anggota badan yang lain. 

  3. Tidak. Hal ini kerana najis disucikan dengan mengalirkan air yang ke atas najis tersebut sehingga hilang bau, warna dan rasanya. Tidak ditetapkan suci daripada najis dengan perlu mengelap kawasan tersebut. 

  4. Terdapat beberapa cara yang disyorkan oleh ulama untuk mengatasi penyakit was-was iaitu: (1) mengambil sikap tidak peduli iaitu membiarkan perasaan was-was tersebut. (2) Bersabar dan terus cuba untuk menghilangkan perasaan was-was tersebut. Hal ini kerana mereka yang ditimpa penyakit ini merupakan ujian iaitu ujian melawan hasutan syaitan, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Fussilat ayat 36:

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

        5. Tidak perlu mandi wajib, cukup sekadar menghilangkan ain najis tersebut dan mensucikan ia dengan mengalirkan air sehingga hilang bau, warna dan rasa najis tersebut. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 82

message user image