BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Salam

Saya ada persoalan mengenai Kad Perubatan (Medical Card). Sy sedang mencari Medical Card yg sy mampu untuk bayar sebagai persediaan kepada diri sy dan keluarga sy. Tapi bila sy survay Medical Card dibawah Takaful kebanyakan adalah mahal dan diluar kemampuan sy. Harga juga akan naik seiring dengan usia sy menyebabkan sy merasakan ianya amat membebankan kerana kenaikan gaji sy tidak lah banyak setiap tahun

Baru baru ni sy ada ditawarkan satu Medical Card yg mampu milik. Harga nya sangat sesuai dengan kemampuan sy. Cuma bila sy tanya agent, ianya bukan lah takaful dan agent ada bagi surat dr pihak atasan mengatakan yg dana disumbangkan dari pencarum ini tidak dimasukan ke unsur perjudian, arak dan lain lain yg melanggar syariat terutamanya orang Islam. Persoalannya adakah sy boleh ambil kad perubatan yg sebegini kerana kad perubatan ini bukanlah takaful pada masa yg sama sy juga tidak mampu untuk memiliki kad perubatan yg ada takaful ni atas faktor harga yg sangat membebankan sy. Sy mempunyai pengalaman dimana sy telah dapat rawatan yg agak teruk di hospital kerajaan menyebabkan kenapa sy mahukan kad perubatan sebagai persediaan utk sy dan keluarga sekiranya perlu dirawat untuk dapatkan rawatan di hospital swasta dan bukanlah kerajaan. 

Terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umumnya terdapat perbezaan yang jelas antara sistem Takaful dan Insurans Konvensional,

Sistem takaful adalah berdasarkan ta'awun (kerjasama) dan tabarru' (sumbangan). Setiap peserta menyumbang kepada dana bersama, dan dana ini digunakan untuk membantu peserta yang lain apabila diperlukan. Aspek ini menjadikannya lebih selaras dengan prinsip syariah, kerana ia melibatkan akad (kontrak) yang bebas daripada unsur riba (faedah), gharar (ketidakpastian melampau), dan maysir (perjudian).

Manakala insurans konvensional pula sangat berbeza dengan sistem takaful di mana sistem ini mengandungi unsur-unsur yang tidak selaras dengan prinsip syariah, seperti riba, gharar, dan maysir. Unsur-unsur ini muncul apabila ada ketidakpastian dalam jumlah pampasan atau keuntungan yang diterima oleh syarikat insurans. Firman Allah SWT dalam surah al-baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya:

Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Memiliki kad perubatan tidaklah termasuk di dalam perkara dharuriyyat (keperluan utama), ini kerana fasiliti kesihatan yang disediakan oleh kerajaan pada hari ini berada pada tahap yang baik dan mencukupi. Oleh itu, pilihlah yang bersesuaian dengan bajet dan kemampuan agar tidak tertekan dengan kekangan kewangan apabila melanggan kad perubatan yang telah dipilih.

Manakala surat penjelasan dari pihak atasan yang menyatakan dana insurans tersebut tidak terlibat dengan perjudian, riba, atau perkara haram lain adalah satu petunjuk yang baik, tetapi ia perlu dilihat lebih mendalam. Sebaiknya dakwaan pihak berkaitan diteliti untuk melihat bagaimana dana diuruskan, dan adakah terdapat akad yang mengandungi unsur yang meragukan seperti riba atau gharar. ini kerana walaupun surat tersebut ada menyebut dana diuruskan secara syariah-compliant, ia mungkin tidak menggantikan struktur dan prinsip akad Takaful sepenuhnya. Jika dana masih beroperasi dengan sistem insurans konvensional, maka ia secara langsung akan terlibat dengan riba, terlibat dengan unsur-unsur gharar dan elemen lain yang tidak sepenuhnya selaras dengan syariah.


والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 94

message user image