Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya,
Apa hukumnya bila suami menyamakan puting payudara isteri seperti puting payudara arwah ibunya?
Suami ada berkata demikian pada malam pertama kami. Saya pernah belajar mengenai zihar masa sekolah dulu. Saya ada bagitahu suami bahawa itu zihar, tapi suami cakap dia tidak pernah dengar mengenai zihar.
Soalan:
1) Adakah terjatuh talak?
2) Jika ya, apa yang patut saya lakukan?
3) Jika tidak, apa tindakan yang perlu dilakukan seterusnya?
Mohon pencerahan.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan;
Secara istilah, zihar adalah ungkapan suami menyerupakan istrinya dengan salah seorang mahramnya, seperti ibu atau saudara perempuan. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Arab menganggap zhihar sebagai salah satu cara talak. Namun, syariat Islam menetapkan zihar dengan beberapa ketentuan lain selain talak. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji) . Allah S.W.T telah memberikan keringanan dalam isu zihar dengan menjadikan padanya kaffarah dan bukannya talak seperti pada zaman jahiliah. Kaffarah bagi seseorang yang melakukan zihar adalah seperti berikut:
Pertama: Bebaskan seorang hamba.
Kedua: Sekiranya tidak ada, perlu berpuasa dua bulan secara berturutan.
Ketiga: Sekiranya tidak mampu, perlu beri makan kepada 60 orang miskin.
Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah S.W.T dalam surah al-Mujaadilah:
Maksudnya: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka, kemudian ingin menarik semula apa yang telah mereka katakan maka (kaffarah ke atas mereka) dengan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya (suami isteri) itu bercampur. Dan sesiapa yang tidak mendapatinya hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama. Sesiapa yang tidak mampu (untuk berpuasa dalam tempoh itu) hendaklah dia memberi makan kepada 60 orang miskin. Yang demikian itu supaya kamu beriman kepada Allah dan juga RasulNya. Dan itulah hudud (batasan) Allah. Dan buat orang kafir itu azab yang pedih.
Zihar ditakrifkan sebagai perkataan suami menyamakan isterinya yang belum tertalak secara bain dengan wanita yang mahram muabbad (selamanya) kepadanya. Secara asasnya, lafaz zihar mempunyai dua bahagian. Iaitu lafaz yang sarih (jelas) dan juga kinayah (kiasan).
Lafaz yang soreh seperti: ‘’Kamu ke atasku seperti bahagian belakang ibuku’’. Demikian juga ungkapan seperti: ‘’Kamu ke atasku seperti perut ibuku’’, atau seperti kepalanya, atau farajnya, atau seumpama dengannya. Begitu juga dengan ucapannya: ‘’Faraj kamu, atau kepala kamu, perut kamu, atau kaki kamu, ke atas diriku sama seperti bahagian belakang ibu aku’’. Maka orang yang mengucapkan ini telah melakukan zihar.
Dan lafaz kinayah pula, ungkapan seorang suami kepada isterinya: ‘’Kamu ke atasku seperti ibuku, atau seumpama ibuku’’. Maka dalam hal ini perlu diambil kira pada niat pengucapnya. Sekiranya dia memaksudkan zihar, maka itu merupakan zihar. Sekiranya dia tidak memaksudkan zihar maka dia tidak dianggap sebagai pelaku zihar
Justeru, lafaz tersebut dikhuatiri termasuk dalam perkara zihar. Namun, bagi mereka yang memang jahil tentang hukum zihar dan memang tidak mengetahui apa-apa berkaitan tentang zihar maka, pada ketika dia mengucapkan perkataan itu tanpa ada niat untuk talak maka ianya dimaafkan. Namun, setiap orang Islam perlu belajar perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum munakahat terutama pasangan suami isteri.
Sekian, terima kasih.