BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Asalammualaikum 

Saya ada soalan ,izinkan saya buat poin untuk pemahaman Tuan dan Puan 

 

1. Saya bercadang untuk poligami tapi isteri pertama tidak setuju dan minta bercerai dan kami setuju untuk bercerai.

2. Ahli keluarga saya sangat membantah seolah saya telah melakukan satu kesalahan yang besar ( saya maklum hukum cerai sangat dibenci oleh allah )

3. Tapi jalan perceraian adalah yang terbaik untuk kesihatan mental isteri yang memang tak mahu dimadukan. 

4. Ini menyebabkan ibu ayah saya terlalu bersedih, ibu saya tak setuju saya bernikah lagi ,malah tidak izinkan saya keluar rumah untuk duduk dirumah sewa. 

5. Persoalan saya pada pihak tuan puan yang ariff lagi bijaksana, adakah ini dikira sebagai derhaka? Adakah saya dan isteri yang sama setuju bercerai lalu mwnyebabkan ibu saya sedih, lalu saya jatuh hukum derhaka? Adakah perlu saya mengikut arahan ibu saya yang tak izinkan saya sewa di luar sebagai derhaka sedangkan saya yang mencari rezeki untuk diri saya sendiri ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Kebenaran poligami bagi pihak lelaki adalah suatu ketetapan daripada Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Walau bagaimanapun, kebenaran itu adalah bersyarat iaitu lelaki tersebut mestilah mempunyai kemampuan dari sudut harta, mampu berlaku adil dan sebagainya. Seorang isteri boleh menolak suami yang ingin berpoligami sekiranya sebab penolakan itu adalah berdasarkan sebab-sebab syarie seperti suami tidak mampu berlaku adil, suami tidak mampu dari sudut kewangan dan juga tanggungjawab yang lain. Adapun menolak poligami atas dasar perasaan dan emosi semata-mata, maka ia tidak dibenarkan.

Namun begitu, sekiranya isteri tidak bersetuju untuk berpoligami dan ingin bercerai maka ia dibenarkan atas persetujuan bersama. Akan tetapi perlu diingatkan bahawa ia merupakan perkara yang sangat dibenci oleh Allah SWT jika tiada sebab munasabah.

Selanjutnya, berkenaan melukakan hati ibu atas sebab dia tidak bersetuju dengan cadangan tuan untuk menceraikan isteri pertama, maka dalam hal ini perceraian dan keputusan untuk bernikah semula adalah perkara yang dibenarkan oleh syarak. Namun kita wajib menjaga adab dan menjelaskan situasi yang berlaku secara berhikmah kepada mereka. Seseorang dianggap derhaka jika secara jelas melanggar hak ibu bapa, bercakap kasar, atau sengaja menyakiti hati mereka tanpa alasan yang dibenarkan. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat ke-15:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا 

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 88

message user image