BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammua’laikum mufti, saya nak bertanya kembali pada soalan sebelum ini, iaitu tentang amanah dalam pekerjaan, menipu dalam pekerjaan..sehingga pada hari ini saya masih kurang senang hati..

Pada mulanya saya masuk kerja selepas saya tidak dtg 2 hari tersebut saya dtg bekerja dan tunjuk kad OKU, namun kad OKU saya dapat sikit kekeliruan kerana saya rasa tidak layak dapat kad OKU tersebut. Tapi bila dapat kad OKU saya terpengaruh dan akhirnya saya perilaku seperti kanak2 dan sebagainya.

Saya tunjuk boss kad OKU dan akhirnya mereka semua percaya, saya diberi layanan istimewa di tempat kerja, dan Boss atas beri arahan kepada boss bawahan saya seperti manager/supervisor tidak push saya buat kerja seperti staff yg lain, saya masih buat kerja tugas sebagai “Promoter” cuma saya diberi keringanan iaitu orang atasan tidak push buat kerja atau mereka tidak terlalu beri tugasan mereka kpd saya..

1. Bila saya fikirkan takut gaji saya jadi syubhah atau haram selama mana saya bekerja di company itu..saya sudah beli handphone,laptop dan tablet untuk kegunaan harian, apakah saya boleh manfaatkan harta yg saya peroleh dari gaji itu? Kerana saya sudah penat bekerja walaupun orang atasan tidak push seperti staff yg lain, bolehkah saya guna barang tersebut? 

2. Saya tunjuk kad oku pada hari kedua saya bekerja sebab saya jenis slow lambat buat kerja bukan sbb sengaja cuma saya tunjuk kerana nak mereka faham yg saya slow..dan beberapa bulan baru saya laju buat kerja..(tapi perbuatan saya tunjuk Kad OKU rasa tidak layak untuk dapat kad itu itu saya menyesal).

3.Saya sangat takut jika Allah tidak terima amalan saya dan tiada kesan pahala dalam melakukan amal ibadah kerana harta yang saya masih guna dan manfaatkan itu..seperti baju, handphone, laptop, tablet dan lain2 saya sangat takut untuk gunakannya.

4. Adakah perlu pulangkan keseluruhan gaji selama mana saya bekerja di syarikat itu? Bagaimana nak tebus kesalahan ini? 

5. Jika saya mahu mencari pekerjaan lain, tetapi saya ragu nak letak pengalaman kerja sebagai promoter yg saya bekerja sebelum ini daripada hasil dan perlakuan saya, bolehkah saya letak resume sebagai tidak ada pengalaman kerja? Saya bimbang jika dapat kerja disebabkan pengalaman saya sebelum ini takut menjadi tidak berkat.

Maafkan saya soalan saya banyak, Harap pihak mufti menjawab soalan saya ini kerana hati saya tidak tenang, saya tiap hari menangis mengenangkan kelakuan saya sebelum ini..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berkaitan dengan pendapatan yang diterima adalah halal dan tidak berlaku syubhah kerana sememangnya kad OKU telah diberikan oleh pihak yang berautoriti berdasarkan bukti dan laporan klinikal. Rasa tidak layak itu adalah penilaian peribadi, tetapi selagi kad tersebut diperolehi berdasarkan kriteria yang telah disahkan oleh pihak berkenaan, ia tidaklah menjadi suatu kesalahan. Sekiranya anda merasakan tidak layak menerima kad OKU tersebut, boleh berhubung langsung dengan pihak yang mengeluarkan kad tersebut. 

Harta yang haram atau syubhah memang boleh menjadi penghalang kepada keberkatan hidup dan ibadah. Namun, dalam kes anda, gaji tersebut tidak sepenuhnya haram kerana anda masih bekerja dan menyumbang tenaga. Yang menjadi kebimbangan hanyalah meringan-ringankan tugas, yang tidak melibatkan penipuan sepenuhnya. Langkah untuk keberkatan yang boleh dicadangkan adalah dengan melakukan taubat nasuha dengan memohon keampunan daripada Allah SWT dan berazam untuk tidak mengulangi sebarang tindakan yang mendatangkan keraguan serta gunakanlah sebahagian harta untuk bersedekah dan mohon keberkatan dalam rezeki. Gaji yang diterima pula tidak perlu dipulangkan kerana tugasan yang diberikan tetap dilaksanakan dan kerja-kerja tersebut telah memberi manfaat kepada syarikat.

Tidak salah untuk tidak menyebut pengalaman kerja terdahulu dalam resume anda jika anda merasa ragu-ragu tentang keberkatan pengalaman itu. Namun, jika pengalaman tersebut membantu anda mendapatkan pekerjaan baru dan anda tetap berlaku jujur mengenai keupayaan sebenar, tiada masalah untuk menyebutnya. Yang penting ialah anda tidak menipu tentang tanggungjawab atau keupayaan yang anda ada. Letakkan niat untuk memulakan pekerjaan baru dengan cara yang lebih telus dan jujur. Rezeki yang diperoleh dengan niat yang baik akan diberkati oleh Allah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 115

message user image