Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya bersama isteri bertengkar dgn perkara yang tidak sepatutnya, kemudian saya cuba untuk ugut dengan berkata seperti "kalau kau masih berfikir mcm ni yang bukan ii aku tak teragak agak ambil dadah mcm dulu" keadaan jadi reda seketika,namun isteri saya bersuara untuk buat "lafaz taklik untuk perkara perkara tertentu" kemudian saya berkata" baik kalau aku ambil dadah dan minum arak aku akan ceraikan kau dalam keadaan marah terpaksa dan serabut. Persoalan saya adakah lafaz taklik itu sah dan adakah jika saya langgar lafaz itu jatuh talak?
Jawapan
Merujuk kepada kenyataan yang dikemukakan iaitu: kemudian saya berkata" baik kalau aku ambil dadah dan minum arak aku akan ceraikan kau. Ayat tersebut merupakan ucapan berbentuk khabari (perkhabaran atau hasrat) iaitu seandainya suami ambil dadah dan minum arak, maka suami akan menceraikan isteri. Justeru, terpulang kepada suami sama ada mahu meneruskan hasratnya iaitu menceraikan isterinya atau sebaliknya.
Ucapan tersebut tidak membawa kepada berlakunya talak taklik yang menyaratkan ucapan berbentuk insya'i (talak berlaku dengan serta-merta), seperti ucapan suami: "Kalau aku ambil dadah dan minum arak, jatuh talak".
Walau bagaimanapun, isteri boleh membuat permohonan cerai secara fasakh sekiranya suaminya berkelakuan dengan cara hidup yang menyalahi hukum syarak (dadah, arak).
Sekian, terima kasih.