Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya andai kata seorang isteri kematian suami , semasa hayat kami menetap di selangor kerana suami berkerja di selangor tetapi jenazah dikebumi kampung suami di kelantan (pasir mas). Sewaktu tempoh eddah, bolehkan isteri menjalani tempoh eddah di kampung rumah isteri di kelantan (kota bharu). Kerana dirumah kampung suami tidak selesa kerana ada ipar (lelaki yang belum berkahwin yang lain). Boleh jelaskan hukum. Terima kasih
Jawapan
Apabila berlaku kematian suami, isteri hendaklah menjalani tempoh iddah di rumah yang disediakan suaminya iaitu rumah tempat tinggalnya semasa mereka hidup bersama sebagai suami isteri. Keadaan tempat tinggal yang dipilih juga perlu mengambil kira aspek keselamatan dan kebajikan diri dan anak-anak. Sekiranya keadaan tidak bersesuaian, isteri boleh berpindah ke rumah lain yang bersesuaian. Namun, apabila telah memilih satu-satu tempat, maka beriddahlah balu tersebut selama 4 bulan 10 hari di sana sehingga tamat tempoh iddahnya. Disamping itu, balu juga wajib berihdad (berkabung) dengan meninggalkan perkara berikut:
- Tidak memakai pakaian yang menarik perhatian
- Tidak berhias
- Tidak memakai wangian
- Tidak bersolek
Penjelasan lanjut berkenaan hukum hakam beriddah, puan boleh layari link berikut:
https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/17/6-taudih-al-hukmi-hukum-keluar-bekerja-bagi-wanita-beriddah-kematian-suami/
Sekian, terima kasih