BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Aslm, saya ada beberapa soalan. 
1.Beberapa bulan dahulu, kucing saya terpijak tahinya sendiri dalam kuantiti sedikit. Tetapi saya tidak menyucikannya dengan betul. Adakah saya perlu menyucikan kaki nye dengan mengalirkan air pada kakinya setelah tahu cara menyucikan najis dengan betul?

2. Pada hari lepas, badan kucing saya berbau seperti najisnya dan baunye melekat di mana2 tempat kucing saya pergi. Sebagai contoh: jika dia berada dalam bilik, bilik tersebut akan berbau seperti najis namun saya tidak jumpa kesan najis.

3.Berdasarkan soalan (2) bau najis yang tidak kelihatan pada badan kucing saya melekat pada tilam saya . Apakah yang saya perlu buat


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, warna, bau dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. Merujuk kepada persoalan tuan, :

1) Tidak perlu menyucikan semula kaki kucing tersebut kerana perkara tersebut telah berlaku beberapa bulan yang lalu. Namun jika berlaku semula perkara tersebut maka hendaklah dibersihkan dengan cara yang betul dengan dihilangkan ain najis tersebut dan dibasuh atau dialirkan dengan air mutlak sekadarnya pada tempat yang bernajis.

2) Dalam hal najis yang tidak nampak, tapi mungkin ada ini, cukup sekadar untuk mengambil hukum yang zahir berdasarkan apa yang berlaku. Jika tiada bau, warna, dan rasa bagi najis seperti ain najasah dan basahan, maka tidak perlu dicuci atau pun dibersihkan. Bagi mengelakkan dari perasaan was-was berkaitan najis tersebut, kembali kepada kaedah Fiqh yang menyatakan:

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu adalah kekalnya ia pada kedudukan asalnya.

3) Jika dapat diyakini bau najis tersebut pada tilam saudara, maka hendaklah dibersihkan dan dibasuh tilam tersebut. Namun sekiranya tidak dapat dipastikan keberadaan bau najis pada tilam tersebut maka tidak perlu dibersihkan. Ini bermaksud, hukum asal sesuatu perkara itu adalah suci. Ia hanya akan menjadi mutanajjis (bernajis) sekiranya diyakini terkena najis. Mengesyaki sesuatu itu terkena najis tidak menjadikan ia bernajis berdasarkan kepada kaedah Fiqh: 

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: Sesuatu yang diyakini tidak dapat dihilangkan oleh rasa syak (atau ragu-ragu). 

Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit was-was kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik. Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak terdapatnya najis. Sebaiknya bersungguh-sungguhlah untuk mencari punca bau tersebut kerana secara logiknya bau yang hadir adalah tanda najisnya masih ada melainkan jika ia hanyalah bau yang melekat diruang yang tertutup maka jika begitu ianya adalah dimaafkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 61

message user image