BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya. Saya dahulu membeli telefon saya ada bercampur duit haram dan juga yuran sem kedua saya dibayar menggunakan wang haram. Ada juga beberapa buku yang saya beli menggunakan wang yang sama. Jadi, saya kebanyakan menyiapkan tugasan yang diberikan menggunakan telefon sahaja dan saya manfaatkan buku yang dibeli untuk menjawab soalan peperiksaan. Jadi soalan saya, adakah perbuatan saya ini boleh mengakibatkan sijil yang saya bakal terima menjadi haram digunakan, kerana saya menggunakan barang-barang yang dibeli dengan duit haram untuk belajar dan menjawab ujian peperiksaan. Untuk sekarang, saya tidak mempunyai duit untuk membeli telefon baharu namun saya boleh menyiapkan tugasan menggunakan laptop, cumanya saya perlu menggunakan hotspot daripada telefon saya. Adakah cara ini lebih baik buat saya?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Dalam Islam sememangnya umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang mematuhi kehendak Syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, menggunakan wang haram untuk menampung yuran dan kegunaan semasa pengajian adalah suatu perbuatan yang dilarang oleh syarak dan berdosa. Ini adalah kerana wang haram atau wang yang tidak patuh syariah tidak boleh digunakan untuk kepentingan sendiri sebagaimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 bahawa harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti ribagharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah tertentu.

Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut tidak menjadikan hasil (sijil pengajian) menjadi haram. Namun dikhuatiri ia boleh menghilangkan keberkatan pekerjaan serta pendapatan yang diperolehi daripada sumber yang tidak halal.

Perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah bertaubat kepada Allah SWT, menyesali perbuatan yang telah dilakukan serta berazam untuk tidak mengulanginya. Sekiranya wang haram itu berkaitan dengan hak orang lain, maka ia perlu diganti atau meminta kemaafan daripada pemiliknya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 103

message user image