BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya nak bertanya mengenai perceraian.

(1) Adakah sah perceraian suami dan isteri jika lafaz talak yang dilafazkan dalam keadaan tidak sengaja (gurauan) dan tidak ditujukan kepada si isteri?

 

Situasi CONTOH:

Ketika sedang menjemur pakaian.

Isteri: Mana stokin sebelah lagi? Awak ceraikan dia.

Suami: **Dalam nada gurau sambil menjemur pakaian**

Saya ceraikan dia dengan talak satu.

 

Percakapan suami tersebut ditujukan kepada 'dia' merujuk kepada barang.Dalam situasi tersebut adalah 'stokin'.

Suami bercakap tapi tidak menghadap atau berhadapan dengan isteri dia. 

 

(2) Boleh saya tahu adakah perkara/gurauan tersebut boleh menyebabkan perceraian suami isteri menjadi sah?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terdapat dua jenis talak berdasarkan kepada lafaz yang diucapkan oleh suami. Pertama: talak sorih (jelas), dan kedua: talak kinayah (tidak jelas). Talak sorih, seperti ucapan suami kepada isteri: "Aku ceraikan engkau", atau "Aku talakkan engkau" dan sebagainya maka talak akan berlaku walaupun tanpa niat, walaupun suami hanya bergurau senda. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ جَدُّهُنَّ جَدٌّ، وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِّكَاحُ، وَالطَّلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).

Yang kedua adalah talak kinayah (tidak jelas), ia seperti ucapan suami kepada isteri: "Kau bukan isteri aku", "Antara kita tidak ada hubungan lagi" dan sebagainya maka ia bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Menjawab pertanyaan puan, talak tidak jatuh kerana suami tidak merujuk perkataan cerai itu kepada isterinya, tetapi kepada stokin.

Walaubagaimana pun, sebaiknya pasangan suami isteri hendaklah mengelakkan daripada bergurau atau bermain-main dengan perkataan talak, cerai atau seumpama dengannya, kerana khuatir boleh membawa kepada jatuh talak sebagaimana yang telah dijelaskan melalui hadis di atas.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 141

message user image