Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya nak tanya, kalau ada orang tanam pokok diatas tanah rizab kerajaan macam depan rumah ( divider ) , apa hukum untuk kita ambil hasil buah tu Dan makan? Sebelum ni saya ada dengar ceramah mengatakan boleh ambil tapi dari segi aspek jiran..kalau orang luar? Pokok tu pulak bukan pokok liar/tumbuh sendiri , tapi pokok yang ditanam..mohon penjelasan..terima kasih ustaz
Jawapan
Secara umumnya adalah diharuskan rakyat untuk memanfaatkan tanah rizab milik kerajaan jika ia kawasan yang dibenarkan untuk tujuan itu. Namun, jika tanah rizab kerajaan hendak digunakan untuk tujuan peribadi seperti membina tempat letak kereta berbumbung dan sebagainya hingga bertentangan dengan kehendak undang-undang atau hak awam, maka hukumnya adalah haram.
Bagaimanapun, ada kalanya tanah milik awam itu berhampiran rumah kita dan ia tidak diselenggarakan dengan sempurna oleh pihak berwajib. Dalam isu ini, maka pemilik dibenarkan untuk memanfaatkan tanah tersebut sebaik mungkin dengan beberapa syarat. Antaranya, tidak terdapat larangan daripada pihak berwajib kerana mentaati pemerintah selagi mana tidak menyalahi syariat adalah wajib.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, pokok yang ditanam oleh seseorang di tanah rizab adalah milik orang yang menanam. Perlu meminta izin daripada pemilik pokok untuk mengambil buahnya. Melainkan sekiranya pemilik itu telah menghalalkannya untuk diambil oleh sesiapa. Jika tidak diketahui pemilik pokok tersebut selepas berusaha untuk mengetahuinya, maka harus diambil bagi mengelakkan pembaziran. Sekiranya kemudian pemilik pokok tersebut diketahui, maka hendaklah meminta izin daripadanya. Jika pemilik itu meminta ganti rugi, maka ia perlu dipenuhi.
Adapun menanam sendiri pokok di atas tanah rizab milik kerajaan untuk mengambil manfaat daripadanya perlu mendapat keizinan bertulis daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat ke 29;
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil. kecuali dengan cara perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.