Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya, saya dan isteri telah pun bercerai di mahkamah atas sebab isteri saya tak nak dekat saya dan disebab kan org ketiga, sekarang dalam waktu edah, isteri saya masih lagi keluar dengan lelaki lain, saya dah nasihat dan beri teguran, soalan saya bolehkah saya berhenti memberi nafkah duit makan kepada beliau?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, tanggungjawab tuan nasihat dan memberi teguran kepadanya sudah terlepas. Sekiranya dia berterusan begitu maka dosanya ditanggung sendiri oleh pelakunya. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-An'am ayat 164:
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya.
Tuan boleh berhenti memberi nafkah (dalam tempoh iddah) kepadanya sekiranya mendapat kebenaran dari pihak Mahkamah. Justeru, tuan perlu mengemukakan permohonan kepada pihak Mahkamah Syariah untuk tindakan sedemikian. Oleh kerana tuan menetap di Kedah, boleh rujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) Tahun 2008, di bawah tajuk seperti berikut:-
Hak terhadap nafkah atau pemberian selepas perceraian
66. (1) Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘iddah atau apabila isteri menjadi nusyuz.
Pautan link Enakmen: https://syariah.kedah.gov.my/userfiles/files/PDF/Enakment/Enakmen%20Baru/ENAKMEN%20UNDANG-UNDANG%20KELUARGA%20ISLAM.pdf
Sekian, terima kasih.