Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Saya ingin mengemukakan satu soalan berkenaan dengan penerimaan wang dari syarikat insurans dan tuntutan (claim) perubatan kerajaan untuk rawatan perubatan yang sama iaitu pemindahan buah pinggang. Ingin saya maklumkan bahawa syarikat insurans tidak membayar sepenuhnya bayaran tuntutan perubatan saya. Dalam masa yang sama saya memohon tuntutan perubatan dari kerajaan kerana isteri saya merupakan penjawat awam kerajaan. Namun, tempoh tuntutan kerajaan adalah mengambil masa yang terlalu lama untuk pengesahan. Pembedahan dilakukan pada Februari 2023 sehingga kini saya belum menerima sebarang bayaran. Saya memaklumkan perkara tersebut adalah kerana kos perubatan saya adalah terlalu tinggi jadi saya memerlukan sumber kewangan yang boleh membantu saya selepas pembedahan. Persoalan saya, apakah hukum tuntutan perubatan dari kerajaan yang saya lakukan? Adakah saya boleh menggunakan duit tersebut.
Sekian, Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum tuntutan tersebut adalah harus kerana ia merupakan satu kelayakan yang boleh dipohon disebabkan isteri merupakan penjawat awam dan duit tersebut boleh digunakan bagi menggantikan kos yang didahulukan untuk pembedahan.