BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya sangat was was mengenai najis air kencing. Ketika baring hendak tidur, saya merasakan seperti ada air yang keluar daripada kemaluan namun perasaan air keluar itu sangat halus menjadikan saya was was sama ada ianya benar-benar keluar atau air itu bermain-main di dalam kemaluan saya. Saya mengambil keputusan untuk membasuh kemaluan di bilik air. Ketika di bilik air, saya berasa sangat marah/kecewa dengan masalah was was saya ini kerana saya sering kali ke bilik air untuk membasuh kemaluan dan menukar banyak seluar/kain pelikat yang saya sendiri khuatir/was was sama ada terkena air kencing atau tidak.

Selepas selesai membasuh kemaluan, saya merasakan ingin membuang air kecil maka saya pun mencangkung dan membuang air kecil seperti biasa. Fikiran saya ketika itu seperti bercelaru kerana marah akan masalah was was saya ini menjadikan saya kurang fokus kepada tindakan saya selepas selesai membuang air kecil. Apa yang saya ingat adalah saya menghalakan kepala "shower" daripada belakang (mengalihkan tangan kanan ke belakang/bahagian punggung) agar ketika air kencing keluar dan mengalir di lantai bilik air, maka air yang keluar daripada kepala "shower" akan membawa air kencing terus ke lubang bilik air. Selain itu, saya juga ada ingat bahawasanya saya ada mengalirkan air daripada kepala "shower" ke kaki dan tapak kaki juga kerana khuatir jika ada air basuhan kencing yang terkena kaki (khuatir jika ianya air muntanajis yang akan tersebar ke seluruh rumah selepas saya keluar daripada bilik air).

Selepas selesai, saya memakai seluar lalu baring semula di sofa di ruang tamu sambil berselimut untuk berehat semula. Namun ketika baring itu, tiba-tiba saya menjadi was was sama ada saya telah membasuh kemaluan saya selepas membuang air kecil atau tidak. Saya ada menyentuh tangan kiri saya di kemaluan (sambil masih baring) dan menghidunya namun tidak dapat saya pastikan sama ada ianya bau air kencing atau bau baki air basuhan yang terkena kulit kemaluan kerana apa yang saya bau tidak sekuat bau hancing daripada air kencing namun masih ada bau yang saya kurang pasti sama ada najis atau tidak. 

Saya mengambil keputusan untuk mengabaikan perasaan was was itu kerana kadang kala perasaan "adakah saya sudah basuh kemaluan atau tidak?" itu suka berlegar di fikiran namun sebelum ini dapat saya yakinkan diri sepenuhnya kerana mengingati bahawasanya saya ada membasuh kemaluan saya tetapi kali ini saya benar-benar lupa. Saya khuatir jika benar ianya najis akan menyebabkan tersebar ke sofa dan selimut saya kerana tangan kiri yang menyentuh kemaluan itu ada menyentuh pula selimut dan juga bahagian sofa sewaktu saya tidur. 

Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan kepada selimut dan bahagian sofa yang saya sentuh dengan tangan kiri saya sama ada perlu membasuhnya atau tidak kerana ianya hanya was was dan saya akui was was saya sangat teruk kerana sedikit pergerakan di kemaluan sudah cukup menjadikan saya khuatir saya terkencing atau tidak (sama ada semasa solat atau di luar solat) dan persoalan "adakah sudah basuh kemaluan itu?" kadang kala datang untuk menjadikan saya was was teruk. Mahu saya abaikan sepenuhnya tetapi mungkin benar saya tidak membasuh kemaluan saya namun ketika keluar daripada bilik air dan memakai seluar tidak pula saya was was sehingga saya berada di posisi yang membuatkan saya benar-benar susah untuk membasuh jika benar najis tersebar seperti terkena sofa. 

Saya ada berdoa kepada Allah SWT mengenai was was saya ini dan sebelum bangun daripada tidur saya, saya ada seperti bermimpi saya berada di bilik air dan saya mengabaikan perasaan was was itu dengan tidak langsung membasuh seluar yang saya pakai di mana saya khuatir sama ada saya telah membasuh kemaluan saya atau tidak. Saya tidak pasti sama ada ini jawapan kepada persoalan saya di atas. Mohon pencerahan daripada pihak tuan/puan terutamanya bagaimana dengan masalah selimut dan sofa saya itu kerana selepas bangun tidur, ada saya menghidu di bahagian selimut secara rawak namun tidak pula saya terbau hancing tetapi ia seperti tidak cukup menyakinkan diri saya kerana mungkin najis kencing itu (jika ada) telah kering dan hilang bau kerana kipas siling yang mengeringkannya ketika saya tidur. 

Terima kasih, Assalamualaikum WBT.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Was-was sama ada bernajis atau tidak seperti waswas keluar air kencing atau tidak, maka ianya tidak dapat dihukumkan bernajis. Ia kembali kepada hukum asal itu suci daripada najis. Manakala waswas sudah basuh kemaluan atau belum, berdasarkan situasi yang diterangkan kemaluan tersebut bernajis. Ini kerana pada asalnya bernajis disebabkan secara pasti telah kencing pada awalnya kemudian baru was-was timbul. Adapun tangan, selimut dan sofa tidak bernajis.

Semua persoalan yang tuan ajukan adalah berpunca daripada perasaan was-was. Dinasihatkan kepada Tuan untuk mendapatkan rawatan pakar perubatan bagi masalah waswas yang dialami. DIkhuatiri ia akan menjejaskan kehidupan seharian. Di samping itu perbanyakkanlah zikir dan doa supaya diberikan ketenangan hati. Seterusnya mantapkanlah diri dengan ilmu fardu ain khususnya bagi mengelakkan keraguan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                               


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 51

message user image