Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, sebelum solat subuh, saya sudah melihat bila waktu syuruk dalam aplikasi waktu solat, dan dengan yakinnya saya pun menunaikan solat subuh. Semasa sedang solat, saya teringat yang saya tak perasan pun waktu solat dalam aplikasi tu disetkan di daerah/negeri mana, sama ada daerah/negeri itu berdekatan tempat saya bekerja atau di kediaman saya. Tapi saya tetap yakin meneruskan solat, selepas habis solat saya terus semak daerah/negeri aplikasi waktu solat itu dan ternyata waktu solat yang saya lihat awal-awal tadi memang benar. Soalannya, adakah saya perlu ulang solat subuh saya kerana melihat waktu solat tanpa memastikan dimana daerah/negeri tersebut terlebih dahulu?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, solat yang telah ditunaikan dengan keyakinan bahawa waktu yang dilihat di aplikasi adalah benar dan setelah selesai solat, dapat disahkan bahawa waktu tersebut sememangnya benar, maka solat yang dilakukan adalah sah dan tiada keperluan untuk mengulang semula solat.
Walaupun terdapat kekeliruan sementara mengenai lokasi daerah/negeri pada awalnya, apabila didapati waktu masuk solat tersebut adalah benar selepas semakan, ini sudah memadai. Mengikut kepada kaedah fiqh:
Maksudnya : Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak.