BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah/mufti 

Saya ade beberapa soalan nak bagi tau,

1. Kalau kucing mati boleh ke kita ucapkan Innalillah?

2. Boleh ke kita baca AL Fatihah untuk kucing yang mati?

3. Kalau manusia mati masuk ke alam barzakh tapi kalau kucing mati adakah sama macam manusia?

4. Betul ke kalau kita masuk syurga kita boleh minta apa² je termasuklah kucing yang telah mati?

5. Betul ke Kucing kalau mati tidak akan masuk syurga.kenapa ye?

Mohon pencerahan ustaz/ustazah/mufti.

Sekian terima.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1) Lafaz istirja’ merupakan lafaz yang disebut oleh seseorang apabila mendengar berlakunya kematian, musibah atau perkara yang menyedihkan supaya mereka yang diuji sedemikian akan bersabar dengan ujian tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155-156:

  الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ . وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ‎

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, seseorang yang menghadapi kematian haiwan peliharaan seperti kucing dan sebagainya yang merupakan miliknya dianggap sebagai kehilangan harta dan musibah yang dianjurkan untuk dibacakan ucapan istirja’.

2) Tiada nas syarak menganjurkan sedekah bacaan al-Fatihah kepada kucing yang mati kerana ia pada asalnya bertujuan memperbanyakkan amalan seseorang mukallaf yang telah meninggal dunia. Adapun makhluk yang tidak mulallaf sedekah bacaan al-Fatihah tidak memberi apa-apa kesan padanya. 

3) Semua makhluk Allah akan dikumpul dan akan dihisab sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 38;

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم ۚ مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ ‎

Maksudnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Tafsir al-Tabari ada menjelaskan bahawa Allah akan menghimpunkan semua makhluk-Nya pada hari Akhirat nanti termasuklah setiap haiwan, burung, manusia. Lalu Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan burung-burung, jadilah kamu tanah. 

4) Ya betul. Orang mukin yang masuk ke syurga akan memperolehi pelbagai nikmat dan permintaan seperti firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 35:

لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ ‎

Maksudnya: Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).

5) Sebagaimana dijelaskan di atas, kucing merupakan kelompok haiwan yang dijelaskan dalam tafsir akan menjadi tanah. Namun begitu, orang Mukmin yang berjaya masuk ke syurga boleh membuat apa pun permintaan dan kehendaknya sebagai ganjaran Allah kepada hamba-Nya yang bertaqwa. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 58

message user image