Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya terlalu marah pada se-ekor kucing kerana sering membuang najis didepan pintu rumah saya.
Saya terlalu mengambil keputusan terburu-buru.
Dan telah terbunuh beberapa ekor kucing liar dengan menggunakan racun.kucing liar yang selalu membuang najis didepan pintu rumah telah mati. Juga beberapa kucing liar yang lain.
Apakah hukumnya pada saya dan apa patut saya lakukan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum membunuh kucing adalah berdosa dan perlu bertaubat, kerana Allah SWT telah menetapkan prinsip ihsan dalam setiap perkara. Bahkan daripada hadis Baginda SAW, bahawa seorang wanita di azab di neraka lantaran tidak memiliki sikap belas ihsan terhadap seekor kucing, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda;
Maksudnya : Seorang wanita diseksa Allah pada hari kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati. Kerana itu Allah SWT memasukkannya ke neraka. Kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap makanannya yang terdapat di bumi. (Riwayat Muslim)
Nyawa setiap binatang juga perlu dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati secara sewenang-wenangnya.
Sekian, terima kasih.