Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya nak tanya ,saya anak angkat , jadi kini saya kena berkhidmat kepada ibu bapa kandung saya ke? Tetapi selama ini mereka tidak pernah bertanya khabar tentang saya. Mereka tidak pernah pun kisah pasal saya. ke saya yang kena approach mereka dulu? Dan saya pun baru tahu saya ada adik beradik kandung yang lain. What should i do?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Tanggungjawab kepada Ibu Bapa Kandung dalam Islam
Hak dan Kewajipan Terhadap Ibu Bapa Kandung: Dalam Islam, ibu bapa kandung tetap mempunyai hak terhadap anak-anak mereka, termasuk hak untuk dihormati dan dijaga oleh anak-anak, walaupun dalam keadaan hubungan yang renggang atau mereka tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebelum ini. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra' ayat 23:
Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Konsep Ihsan atau berbuat baik kepada kedua ibu bapa merupakan kewajipan anak tanpa syarat, tanpa mengira latar belakang. Ini termasuk menziarahi mereka, bertanya khabar, dan membantu keperluan mereka, walaupun ibu bapa tidak pernah memberikan perhatian yang sepatutnya semasa anak-anak kecil.
Adalah normal untuk merasa kecewa atau terluka apabila ibu bapa kandung tidak pernah mengambil berat tentang diri anak-anak selama ini. Namun, dalam Islam, meminta maaf serta memberikan kemaafan adalah sangat dianjurkan dalam Islam, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan hubungan darah dan kekeluargaan.
Dekatilah ibu bapa kandung, boleh mulakan secara perlahan-lahan. Contohnya, menghantar pesanan ringkas bertanya khabar, mengucapkan salam, atau bertanya tentang keadaan mereka, kerana dengan tindakan ini sedikit sebanyak dapat mendekatkan hubungan yang selama ini jauh. Begitulah juga halnya hubungan dengan adik beradik lain kerana ini adalah peluang untuk mengenali mereka. Semoga dengan berusaha untuk mengenali mereka ia akan dapat mengeratkan jaringan kekeluargaan.
Kesimpulan
Situasi ini bukan mudah kerana ia melibatkan emosi serta memori yang mungkin menyakitkan. Namun, dengan mengutamakan prinsip Islam seperti ihsan, memaafkan, dan menjaga silaturrahim, sudah pasti akan dapat menjalani situasi ini dengan lebih tenang. Walaupun ibu bapa kandung tidak pernah mengambil berat sebelum ini, tanggungjawab seorang anak untuk mendekati mereka tetap ada. Yang penting, lakukanlah dengan ikhlas dan berdoa agar Allah memudahkan jalan dalam memperbaiki hubungan ini.
Sekian, terima kasih