Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada nak tanya. Saya ada dpt offer kerja. Company tu dia buat design, label and printing. Dia juga ada supply service ni utk company wine. Apa hukum ya? Boleh ke saya bekerja di company tersebut.
Jawapan
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abdurrahim bin Ghanm RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. (Riwayat Ahmad)
Berdasarkan situasi yang dinyatakan, Islam telah menggariskan panduan yang sangat ketat berkaitan arak sehinggakan Allah SWT melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Rasullah ﷺ melaknat sepuluh golongan berkaitan arak:
1. Orang yang memerahnya,
2. Orang yang minta diperahkan,
3. Orang yang meminumnya,
4. Orang yang membawanya,
5. Orang yang diminta untuk dibawakan kepadanya,
6. Orang yang menjualnya,
7. Orang yang makan hasil jualannya,
8. Orang yang membelinya,
9. Orang yang dibelikan untuknya,
10. Orang yang menuangkannya. (Riwayat al-Tirmizi)
Oleh itu sekiranya syarikat yang menjalankan urusniaga berkaitan percetakan untuk label arak atau wine sahaja atau sebahagian besar percetakannya adalah percetakan untuk label arak atau wine, maka haram melibatkan diri dalam syarikat tersebut, namun jika percetakan untuk label arak dan wine hanya sejumlah kecil maka sebaiknya mohonlah kepada syarikat untuk tidak terlibat langsung dengan mereka bentuk label atau apa-apa kerja yang berkaitan dengan arak.
Oleh itu, adalah dicadangkan supaya tidak melibatkan diri dengan syarikat yang bersangkutan dengan promosi arak. Jika mampu carilah pekerjaan lain dan mengelak daripada pekerjaan yang bersangkutan dengan promosi arak. Dengan meninggalkan perkerjaan yang melibatkan perkara yang haram dan syubhah bertujuan untuk menjaga syariat dan maslahah agama, semoga dengan itu ia akan dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki yang halal oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah at-Talaq ayat 2-3:
Maksudnya: dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.
Sekian, terima kasih.