BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya ingin bertanya. Semasa saya semester satu dahulu, kami ditugaskan untuk menjalankan mini project dan kemudiannya menyediakan laporan yang bernilai 30% daripada keseluruhan markah. Saya disuruh untuk menjadi Ajk pendaftaran dan beberapa orang lagi. Namun, kami tidak menjalankan apa-apa tugasan kerana aktiviti itu hanya melibatkan ahli kelas kami dan tiada sesiapa ahli kelas kami juga yang mempersoalkan tugas kami. Semasa menulis laporan, kami menulisnya ibarat Kami menjalankan tugasan-tugasan yang kami sebenarnya tidak jalankan langsung dan mendapat markah paling tinggi di dalam kelas. Saya agak risau kerana sekiranya kami jujur, maka kami mungkin sudah gagal subjek tersebut. Jadi soalan saya, apakah yang perlu saya lakukan? Kerana sayalah yang bertanggungjawab menulis paling banyak laporan yang tidak jujur itu. Adakah wajar saya berjumpa dengan pensyarah saya dan nyatakan perkara ini dan memohon maaf? Adakah boleh saya gunakan sijil saya ini setelah saya tamat pengajian nanti?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, Islam mengajarkan agar umatnya sentiasa bersikap jujur dan amanah dalam setiap perkerjaan yang dilakukan. Bersikap amanah dalam menjalankan tugas adalah sangat penting, kerana ini akan menjadi tanggungjawab yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. Hal ini telah disebutkan dalam beberapa hadis yang menyatakan sikap dan tanggungjawab dalam menjalankan sebarang tanggungjawab yang telah diberikan, antaranya  ialah:

  • Hadis mengenai Amanah

Diriwayatkan daripada Samurah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ، وَلَا تَخُنْ مَنْ خَانَكَ

Maksudnya: Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu. (Riwayat Ahmad, Al-Tirmizi dan Abu Daud). 

  • Hadis berkaitan Benar dan Jujur

Diriwayat daripada Abdullah Bin Mas'ud RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta. (Riwayat al-Bukhari)

Di samping itu, perbuatan tersebut boleh dikategorikan sebagai menipu dalam perbuataan yang sebenarya tidak dilakukan dan perbuatan menipu adalah haram serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami. (Riwayat Muslim)

Justeru, perbuatan menipu juga tergolong dari dosa-dosa besar. Namun jika sekiranya ia sudahpun berlaku, dan pelakunya juga menginsafi akan perbuatannya tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi, maka hendaklah pelakunya itu bertaubat dengan taubat nasuha dan berazam untuk tidak mengulanginya semula selama-lamanya. Adapun dosa yang lalu seperti menipu itu, moga-moga Allah SWT telah mengampunkan dosa yang lalu tersebut setelah puan menginsafi akan perbuatan itu. Perkara ini seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 95:

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ

Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu. 

Oleh itu, kami juga ingin menasihatkan supaya puan bertakwalah kepada Allah SWT dengan jalan melazimi sikap jujur dan amanah dalam setiap perkara. Selain itu, puan juga boleh memberbanyakkan amalan-amalan kebajikan dan beristighfar sebagai pengampun dosa yang telah dilakukan kerana sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang segera bertaubat kepada Allah SWT. Di samping itu, puan boleh meneruskan pengajian seperti biasa dengan menggunakan sijil pelajaran tersebut, namun anggaplah ia sebagai pengajaran bagi diri puan supaya tidak mengulangi perbuatan dosa itu lagi masa akan datang dan moga-moga Allah SWT mengampunkan dosa puan yang lalu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 136

message user image