Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz / ustazah
Saya bersama rombongan 1 bas telah bercuti di utara tanah air. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami telah singgah di sebuah masjid untuk solat pada waktu petang. Selepas menggunakan tandas saya ingin keluar tetapi tersilap pintu. Pintu yang saya lalu rupa rupanya laluan menuju ke dalam masjid. Saya tidak menanggalkan kasut yang saya pakai ketika itu kerana sangkaan saya pintu itu menuju ke jalan keluar. Saya tersedar apabila saya dapati lantai yang saya lalui dan pijak boleh terus menuju ke tempat solat.
Saya cuba cari mop atau kain basahan dengan tujuan untuk membersihkan tempat tersebut tetapi tiada. Saya juga hanya membawa telekung dan sejadah di dalam beg saya.
Oleh kerana kesuntukan masa, saya solat dahulu dan kembali ke dalan bas untuk mencari kain tetapi yang ada di tempat duduk saya ketika itu hanya lah baju panas.
Ketika saya kembali semula ke tempat tersebut, tempat tersebut kering dan tiada langsung ada kesan - kesan najis. Saya basahkan beju panas tersebut dan saya lap permukaan lantai sebanyak 2 kali yang saya andaikan kawasan tersebut tempat yang saya lalu dan pijak sebelum ini kerana sukar untuk mengecam kawasan yang tepat kerana semua tempat kelihatan bersih.
Ketika itu hati saya berasa tenang kerana tempat tersebut kelihatan bersih dan sepanjang saya membersihkan tempat tersebut tiada seorang pun yang lalu lalang di laluan tersebut kerana dia betul betul berhadapan dengan tandas. Hanya kelihatan beberapa jemaah duduk di pangkin yang berdekatan.
Selepas 4 hari timbul keraguan di hati saya bahawa saya tidak membersihkan tempat itu mengikut cara ysng betul. Saya menghubungi pihak masjid memberitahu masalah ini dan menurut pihak masjid kawasan tersebut memang akan di bersihkan setiap hari. Saya merasa lega ketika itu tetapi sekarang timbul pula keraguan dan rasa takut andai ada yang terpijak najis sebelum tempat itu di bersih kan dan najis boleh berpindah ke tempat lain.
Segala pencerahan di ucapkan terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, bersuci itu wajib apabila kawasan tersebut diyakini atau secara pasti terkena ain najis. Kawasan atau laluan yang dilalui oleh puan hendaklah disucikan sekiranya diyakini terdapat atau terkena najis daripada kasut yang dipakai. Namun begitu, jika sekadar andaian atau rasa-rasa maka ia kembali kepada kaedah fiqh berikut:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan dengan sebab syak (atau ragu-ragu/was was).
Ini kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci. Tambahan, tempat tersebut telah dimaklumkan akan dibersihkan oleh pihak masjid pada setiap hari. Justeru, yakinlah bahawa kawasan tersebut adalah bersih daripada najis. Oleh itu, dibuanglah perasaan was-was supaya tidak berlarutan.
Sekian, terima kasih.