Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam, saya ingin membuat pertanyaa isu lafaz cerai, Diri saya selalu terlintas lafaz- lafaz cerai menyebabkan selalu bermain difikiran saya, ketika saya sedang berfikir dalam hati tentang lafaz cerai tersebut, menyebabkan mulut saya juga ingin turut terlafaz perkataan lafaz yang saya fikirkan tersebut, tetapi perkataan tersebut tidak terlalu jelas kebiasaannya sebutannya juga tidak 'PEKAT' untuk difahami oleh orang sekadar gerakan bibir, lidah dan angin sahaja tetapi saya mengerti disebalik perkataan tersebut kerana perkataan tersebut dari diri saya. Saya berasa tidak tenteram dengan semua ini, saya sudah cuba untuk tidak fikir tentang lafaz-lafaz tersebut tetapi ianya selalu bermain difikiran saya. Saya harap pertanyaan saya ini dapat dijawap oleh pihak tuan.Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan was-was, ataupun monolog-monolog di dalam diri mereka selama mana mereka tidak melakukannya atau berkata-kata. (Riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan hadis ini, dapat difahami bahawa bisikan atau lintasan-lintasan hati atau suara-suara hati yang didengari itu tidak memberikan apa-apa kesan dan tidak dikira selagi mana tidak dilafazkan dengan kata-kata yang sempurna atau perbuatan. Maksud Kata-kata atau lafaz menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah bunyi perkataan yang disebut atau yang diucapkan dengan baik. Lafaz yang sempurna itu mesti diucapkan sehingga dapat didengari oleh dirinya sendiri.
Oleh yang demikian, tuan hendaklah yakin atau mengetahui dengan pasti adakah tuan telah mengeluarkan bunyi perkataan tersebut dengan sempurna atau sebaliknya. Keyakinan ini penting kerana Islam tidak menetapkan sesuatu hukum berdasarkan rasa syak, ragu-ragu, sangkaan atau tidak pasti. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:
Maksudnya: sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.
Begitu juga kaedah fiqah yang mengatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).
Oleh itu, seandainya seseorang itu tidak pasti sama ada melafazkan talak ataupun tidak, atau tidak pasti lafaz yang diucapkan itu sempurna atau pun tidak, atau dia sekadar menggerak-gerakkan bibir dan lidahnya sahaja tanpa didengari oleh dirinya sendiri, maka ia tidak membawa kepada jatuhnya talak.
Sekian, terima kasih