Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Soalan saya berkaitan darah istihadah. Saya tidak pernah alami masalah ini setelah 18 tahun akil baligh. Jadi saya tidak tahu jika saya perlu mandi wajib pada haid hari ke-16. Soalan saya ada dua bahagian.
1. Perlukah saya mandi wajib pada hari ke-16 jika haid berpanjangan
2. Jika saya tidak mandi wajib pada hari ke-16, saya solat kerana haid itu dikira darah istihadah, perlukah saya menggantikan solat yg saya pada hari ke - 16 yg saya tidak mandi wajib itu?
Mohan dapat membantu saya. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Menurut mazhab Syafi’i, tempoh maksimum haid adalah 15 hari. Apa-apa darah yang keluar selepas hari ke-15 dianggap sebagai darah istihadah (darah penyakit). Sekiranya pada hari ke-16 darah masih berterusan, anda dianggap sebagai mustahadhah (wanita yang didatangi darah istihadhah). Oleh itu, anda perlu mandi wajib pada hari ke-16 kerana pada waktu itu anda telah kembali dalam keadaan suci dari haid. Selepas mandi wajib, anda boleh menunaikan ibadah seperti biasa walaupun darah masih keluar dan disyaratkan mengambil wuduk sebagaimana mereka yang mengalami masalah daimul hadas (sentiasa dalam keadaan berhadas), iaitu antaranya mengambil wuduk setiap kali hendak menunaikan solat fardu.
Sekiranya tidak mandi wajib pada hari ke-16 dan terus menunaikan solat, solat tersebut dianggap tidak sah kerana belum melakukan mandi wajib untuk kembali dalam keadaan suci. Oleh itu, anda perlu mengqada' solat yang dilakukan pada hari ke-16 tersebut kerana ketika itu anda belum suci secara syar'ie.
Sekian, terima kasih.