Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bolehkah seseorang yg senantiasa berhadas (contoh : kesan bedah adakalanya bernanah) menjadi imam ?
Jawapan
Daimul hadas bermaksud seseorang yang sentiasa di dalam keadaan berhadas, seperti mengalami penyakit salisul baul (kencing tidak lawas), buasir yang sentiasa berdarah keluar dari dalam dubur atau istihadhah. Adapun keluar atau terdapat nanah pada anggota badan tidaklah dianggap sebagai mengalami daimul hadas. Sebaliknya ia dianggap sebagai menanggung najis, kerana ia tidak membatalkan wuduk dan tidak menjadikan seseorang itu dalam keadaan berhadas.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, mengikut pandangan muktamad nanah adalah najis di sisi mazhab Syafi'i. Antara syarat sah solat ialah mestilah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solatnya. Oleh itu, jika sekiranya seseorang menanggung najis pada dirinya, maka solatnya tidak sah. Walau bagaimanapun, sekiranya darah atau nanah keluar semasa solat disebabkan luka atau sebagainya dalam keadaan yang sedikit, maka ia dimaafkan. Begitu juga keadaannya jika darah atau nanah itu keluar banyak bukan disebabkan perbuatan sendiri dengan sengaja, maka ia termasuk dalam najis yang dimaafkan oleh syarak dan tidak membatalkan solat. Seandainya solat seseorang itu sah, maka dia harus untuk menjadi imam.
Sekian, terima kasih.