Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
hukum tuala wanita (pad) yang ada darah terbasuh sekali dengan pakaian bersih dalam mesin basuh kerana terlupa diasingkan....macam hukum baju-baju tu dikira najis ke?
lepas tu baju-baju tersebut sempat dijemur masa jemur baru terperasan ada pad tersebut jadi soalan kedua..(kalau baju dijatuhkan hukum najis) hukum dekat mesin,bakul baju atau lantai kalau pakaian tu terjatuh masa jemur dikira bernajis jugak ke sebab masa kena semua tempat tu masih basah? kena basuh ke tempat2 tu kalau banyak kawasan kena baju basah tu macam mana saya dah pening
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, cucian baju yang menggunakan mesin basuh bergantung kepada jenis mesin basuh yang digunakan sama ada mesin basuh automatik (fully automatic) atau mesin basuh separa automatik (semi automatic).
Bagi penggunaan mesin basuh automatik (fully automatic): Menurut penulis kitab al-Tatimmah dan fuqaha yang lainnya menyatakan bahawa air mempunyai kekuatan sifat menyuci ketika dicurahkan ke atas benda yang terkena najis, maka tidak menjadi najis dengan akibat percampuran tersebut, bahkan air itu kekal suci. Jika sekiranya air itu dicurahkan ke atas pakaian yang ada najis dan air itu membasahi keseluruhan pakaian, maka pakaian itu suci. Sekiranya air dicurahkan ke dalam bekas yang bernajis dan sifat air itu tidak berubah akibat najis tersebut, maka ia adalah suci. Jika air itu dipusing-pusing ke setiap sudut bekas itu, maka sucilah keseluruhan bekas tersebut.
Bagi penggunaan mesin basuh separa automatik (semi automatic): Pada asasnya, membasuh dengan mesin basuh separa automatik hukumnya tidak suci kerana air yang digunakan telah bercampur dengan bahan pencuci pakaian yang menyebabkan sifat air bukan lagi mutlak. Namun, proses membasuh menggunakan mesin basuh separa automatik boleh menjadi suci sekiranya memenuhi perkara berikut: a) Pakaian dikeluarkan daripada mesin basuh dan dibilas dengan air mutlak, atau b) Pakaian dijirus dengan air mutlak dan pada masa yang sama laluan air keluar di mesin basuh dibuka sehingga air melalui semua pakaian tersebut, atau c) Pakaian yang telah dicuci dipindahkan ke tempat pengering dan pada masa yang sama dilalukan air sehingga air mengenai semua pakaian tersebut dan laluan air keluar perlu dibuka agar air tidak bertakung.
Oleh itu, baju-baju yang dibasuh bersekali dengan tuala wanita (pad) yang mengandungi darah kerana terlupa mengasingkannya tidaklah dihukumkan sebagai bernajis dengan syarat tidak kelihatan unsur-unsur najis pada pakaian tersebut. Maka mesin basuh, bakul baju dan bekas tempat pakaian yang pernah terjatuh semasa jemur pakaian tersebut juga adalah suci meskipun kesemua tempat tersebut masih basah bergantung kepada jenis mesin basuh yang digunakan.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.