BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

 Saya ingin bertanya tiga soalan. Soalan yang pertama, sekiranya seseorang itu tidak tahu bahawa kasut yang dipakainya adalah daripada kulit khinzir dan telah memakainya bertahun-tahun dan beranggapan ianya adalah daripada kulit lembu. Adakah dia perlu sertu kesemua pakaian atau apapun yang telah menyentuh kasut tersebut sekiranya seseorang itu tidak pasti dan bagaimanakah amal ibadah seseorang itu?

 Seterusnya, soalan yang kedua adalah berkenaan sekiranya kasut kulit yang dipakai tidak dapat dikenal pasti sama ada ianya diperbuat daripada kulit khinzir ataupun tidak, kerana tiada tanda-tanda bahawa ianya kulit khinzir apabila diperiksa permukan luarnya. Tetapi saya mempunyai was-was yang agak teruk. saya was-was yang kasut tersebut berkemungkinan ianya diperbuat daripada kulit khinzir kerana saya tidak dapat melihat bahagian dalam permukaan kulit tersebut. Sekiranya saya hendak memeriksa kasut tersebut dengan lebih mendalam saya perlu memotong sebahagian kulit tersebut untuk mengenal pasti kulit tersebut. dengan membuat sedemikian ianya akan merosakkan kasut tersebut. Tambahan pula, kasut tersebut tidak menyatakan dengan jelas sama ada kulit tersebut adalah lembu ataupun khinzir. Jadi ada kemungkinan yang saya salah dan ianya akan merugikan saya. Adakah saya perlu tinggalkan was-was saya tersebut? sekiranya saya perlu tinggalkan was-was tersebut adakah saya perlu menyertu juga?

 Akhir sekali, sekiranya benar setelah bertahun-tahun bahawa kulit tersebut adalah kulit khinzir, adakah seseorang itu perlu sertu kesemua benda lain yang disentuhnya selepas menyentuh permukaan kulit tersebut selepas mengetahui akan asal-usul kulit tersebut.

Mohon penjelasan dan pencerahan. Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, warna, bau dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. Merujuk kepada persoalan tuan, :

1) Tidak perlu sertu segala perkara yang bersentuhan dengan kasut tersebut kerana tidak dapat dipastikan kasut tersebut adalah daripada babi. Oleh itu, bagi mengelakkan dari perasaan was-was berkaitan najis tersebut, kembali kepada kaedah Fiqh yang menyatakan:

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu adalah kekalnya ia pada kedudukan asalnya.

Manakala amal ibadah yang telah dilaksanakan hanya diserahkan kepada Allah SWT sahaja.

2) Jika tidak dapat diyakini atau dipastikan kasut tersebut daripada babi, maka tidak perlu menganggap ianya daripada babi. Ini bermaksud, hukum asal sesuatu perkara itu adalah suci. Mensyaki sesuatu itu bernajis tidak menjadikan ia bernajis berdasarkan kepada kaedah Fiqh: 

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit was-was kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik. Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak terdapatnya najis.   

3) Sekiranya diyakini kasut tersebut adalah daripada kulit babi, maka tidak perlu disertu segala benda yang bersentuhan dengan kasut tersebut kerana ianya telah berlaku beberapa tahun yang lalu. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 70

message user image