BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz/Ustazah.

Saya nak bertanya berkenaan najis hukmi dan najis mughallazah.

Saya mempunyai was was yang sangat sangat teruk.

Ceritanya begini. Beberapa hari lepas, Saya naik motor lalu terlanggar tahi anjing dan terpercik pada kaki saya. Setibanya saya di rumah. Saya terus membasuh kaki saya menggunakan air paip luar rumah sehingga hilang ain najis, warna, bau dan rasa. Kemudian saya masuk ke dalam rumah untuk mengambil sabun sertu, baldi dan cebok. Kemudian saya sertu kaki saya dengan 1 basuhan air tanah sabun sertu tu dan 6 basuhan air mutlak. Akibat daripada was was. Saya juga sertu tangan saya, paip air di luar rumah serta getah paip tersebut walaupun tak pasti terkena najis anjing itu sewaktu membasuh najis itu di kaki saya. 

Kemudian saya masuk ke dalam rumah dan was was muncul mungkin ada percikan najis pada seluar dan baju saya masa saya bawa motor atau pada masa saya basuh kaki saya tu atau pada masa saya sertu kaki saya mungkin ada percikan air sertu. Setelah saya check tiada apa2 kesan ain najis, bau, warna dan rasa. Namun, saya tetap juga basuh dan sertu baju saya dan seluar di dalam bilik air. Akibat daripada itu, saya juga sertu benda2 yang saya pegang semasa proses sertu itu seperti paip, singki, getah paip, shower dan juga lantai. Perasaan itu juga membawa kepada diri saya untuk menyertu handphone dan jam saya. Setelah itu saya masih berasa was was. Saya juga mengambil selipar dan helmet lalu sertu di dalam bilik air. Akibatnya saya menyertu seluruh bilik air tersebut lagi sekali akibat risau penyebaran najis hukmi mughallazah itu.

Semua itu berpunca daripada was was najis hukmi yang saya baca ia boleh merebak jika basah dan najis tersebut juga adalah najis mughallazah. Sebab saya ada terbaca walaupun dah bersihkan ain najis mughallazah namun masih ada najis hukmi nya. Dan najis hukmi itu boleh berpindah tempat jika basah. Adakah macam itu?

Adakah najis hukmi mughallazah itu boleh berpindah banyak kali macam apa yang saya fikirkan atau hanya sekali sahaja? Seperti contoh macam di atas, kaki kena najis anjing dan telah di basuh sehingga hilang ain, warna, rasa dan bau najis tersebut. Namun najis hukmi itu masih ada di kaki dan jika tangan saya basah pegang kaki itu kemudian najis hukmi itu pergi ke tangan saya dan saya pegang pulak paip, baldi atau cebok dan najis hukmi itu merebak pula ke baldi, paip dan cebok. Jika tak sertu semua benda itu. Nanti bila tangan saya basah pegang benda tu, ia kembali balik pada tangan saya dan tangan saya pula pegang benda lain dan ia merebak pula ke benda lain. Maka kena sertu pula benda lain. Adakah betul seperti ini? Atau pun jika ain, warna, bau dan rasa najisnya sudah di bersihkan maka tiada lagi penyebaran najis ke tempat lain? atau bagaimana? Saya sangat penat sertu semua benda dalam rumah saya yang saya rasa terkena najis hukmi mughallazah itu.

Adakah juga ketika sertu, air percikan air sertu itu jika terkena pada baju atau tempat lain atau barang maka saya kena sertu pula baju atau tempat lain atau barang tersebut? dan masa sertu tempat lain tu, terpercik lagi maka kena sertu pulak tempat baru. Adakah betul begitu? Macam contoh sertu seluar, air sertu kena pada baju dan lantai. Maka saya kena pula ke sertu baju dan lantai saya? dan semasa sertu lantai terpercik kena dinding, jadi saya kena sertu dinding pula ?

Selain itu adakah kita perlu niat untuk sertu macam niat solat. Contoh, sahaja aku sertu kerana Allah. Ataupun cukup sekadar perbuatan?

Kemudian, baju yang saya dah sertu, terdapat air yang menitik ke lantai. Adakah lantai itu saya patut saya sertu pula?

Ada juga saya baca jika dah terlampau teruk sangat was was ni. Saya boleh ikut hukum bab najis imam Malik dalam bab anjing. Adakah betul?

Mohon bantuan dari pihak Ustaz/Ustazah. Dah berapa hari dah saya serabut sakit kepala sebab stress akan benda ini dan risau akan ibadah yang saya lakukan dan saya juga penat sertu semua benda di dalam rumah saya seperti benda ini tiada kesudahan.

Terima kasih atas masa dan jawapan. Jazakallah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Manakala bagi sesuatu yang tidak jelas, tidak nyata dan tidak yakin itu maka perkara tersebut adalah terkecuali dan tidak ada hukum. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan. 

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.

Sehubungan itu,:

1) Percikan hasil dari terlanggar najis anjing adalah tidak najis jika tidak dapat dipastikan dengan yakin terdapatnya najis pada kaki saudara. Namu, jika meyakini terdapatnya najis anjing pada kaki, maka perlu di basuh dan di sertu kaki tersebut. Jika ianya hanya sekadar andaian, maka kaki tersebut tidak bernajis. 

2) Kaki yang diyakini terdapatnya najis anjing hanya sekadar dibasuh tetapi tidak di sertu maka ianya tidak suci namun telah bersih daripada najis. Sehubungan itu, ia tidak menajiskan tempat-tempat lain.

3) Air percikan hasil dari basuhan najis tidak menajiskan benda-benda yang lain.

4) Melaksanakan proses sertu tiada sebarang niat yang dianjurkan. Hanya cukup sekadar membaca bismillah.  

5) Sememangnya wujud khilaf antara mazhab Syafi'i dan mazhab yang lain dalam bab najis. Namun, dalam konteks 'uruf di Malaysia, tidak ada keperluan untuk sewenang-wenangnya bertalfiq atau mengikut kepada mazhab selain mazhab Syafi'i tanpa keperluan walaupun pada asalnya, hukum seorang bermazhab Syafi'e bertaqlid kepada mazhab yang lain dalam bab najis adalah dibenarkan dengan syarat perlu meraikan semua hukum-hakam solat dan bersuci dalam mazhab yang lain tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 93

message user image