Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Alhamdulillah diberikan kekuatan oleh Allah untuk saya akhirnya hadir dan menulis pertanyaan di sini setelah pecarian berhubung persoalan saya yang tidak menemui jawapan secara rasmi oleh pihak yang berautoriti khususnya di Selangor.
Untuk makluman Jabatan Mufti, bermula lebih kurang tahun 2019 (sebelum PKP) surau qariah taman perumahan tempat tinggal saya telah melaksanakan bacaan surah al-mulk (membaca daripada lembaran bercetak) selepas solat fardu isyak secara berjemaah dengan mencontohi pelaksanaannya oleh masjid dan surau lain yang telah melaksanakannya dengan memahami bahawa bacaan surah al-mulk ini sesuatu yang baik dan menepati sunnah untuk membacanya pada malam hari sebelum tidur dengan mempercayai khaifiat amalan bacaan surah al-mulk akan dapat melindungi dari azab kubur . Tambahan pula, amalan in tidak pun mampu dilaksanakan sendiri secara istiqomah oleh kebanyakan jemaah (termasuk diri saya sendiri) yang tidak pun menghafal surah al-mulk ini. Setelah menjadi kebiasaan dengan amalan membaca surah al-mulk ini kini sedikit sebanyak saya sudah menghafalnya dan saya percaya begitu juga dengan jemaah-jemaah yang lain. Dan saya percaya bahawa ini adalah keberkatan dengan amalan ini dan Allah telah mengizinkan mendapat hafalan nya. Amalan bacaan ini juga dilaksanakan tidaklah mengenepikan terus bacaan-bacaan zikir/wirid yang lazim dibaca selepas solat malah zikir/wirid lazim ini yang akan dibacakan terlebih dahulu.
Namun amalan membaca surah al-mulk ini kini sudah terhenti kerana terdapat ustaz-ustaz yang mengajar di surau ini menegur akan amalan yang dilaksanakan tersebut. Mereka menyatakan amalan membaca surah al-mulk selepas solat fardu isyak secara berjemaah adalah bida'ah dan sesuatu yang tidak diajarkan serta tiada asal daripada baginda nabi s.a.w. Perkara ini telah menggusarkan hati kerana apakah benar begitu yang disampaikan oleh ustaz yang mengajar dan penyampaiannya menyatakan seperti apa yang dibuat adalah sesuatu yang salah dan berdosa serta perlu ditinggalkan kerana tidak mengikut sunnah Rasulullah.
Saya telah mencari sebarang fatwa daripada jabatan mufti atau mana-mana autoriti (ulil amri) terutamanya bagi negeri Selangor berhubung perkara ini dan saya tidak menjumpai sebarang jawapan yang khusus samada benar amalan ini salah untuk diamalkan dan sekiranya ianya dibolehkan maka perlu juga garis panduan kaedah yang paling afdhal untuk dijadikan panduan bagi semua masjid dan surau khususnya bagi seluruh negeri Selangor. Yang paling utama adalah jawapan yang benar untuk disandarkan oleh kami daripada Mufti agar tidak kami dipesongkan dan menjadi panduan demi menjaga keharmonian jemaah kami.
Sekian, barakallahufikum
Jawapan
Membaca surah al-Mulk merupakan amalan sunnah pada setiap malam yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum masuk waktu tidur.
Hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata;
Maksudnya: Sesunggunya Nabi SAW tidak akan tidur melainkan selepas membaca (surah sajdah) dan (surah al-Mulk)
(Riwayat al-Tirmizi)
Al-Tibi menyatakan dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi dalam mensyarahkan hadis tersebut;
Maksudnya: Dan difahami maksudkan dengan hadis di atas iaitu apabila masuk waktu tidur, Rasulullah SAW tidak akan tidur melainkan setelah membaca kedua-dua surah tersebut.
Walaupun membaca surah al-Mulk yang paling afdhal menepati hadis di atas adalah ketika hendak tidur, namun ia tidak menafikan bacaan selepas solat fardhu isyak. Bagi mereka yang mampu melewatkan bacaan surah al-Mulk sehingga waktu hendak tidur maka itulah yang terbaik. Namun jika dikhuatiri akan meninggalkannya jika menuggu pulang ke rumah maka boleh dilakukan di selepas solat fardhu Isyak tanpa meninggalkan zikir dan wirid selepas solat fardhu Isyak. Amalan membaca surah al-Mulk itu mempunyai asalnya dalam agama serta digalakkan, justeru tidak wajaria dihukumkan sebagai suatu amalan bid'ah yang ditegah.
Sekian, terima kasih