Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada soalan tentang perkahwinan. Kemusykilan ini wujud apabila, seorang kenalan saya menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan pemuda berusia kurang dari 30 tahun (tetapi masih mencari).
Sedikit info berkaitan kenalan saya,
Gender: wanita
Status: Penjawat awam
** bakal berpencen dlm masa terdekat
Beliau berhasrat sedemikian adalah kerana beliau ingin memaksimumkan penggunaan wang pencen bulanannya setelah beliau meninggal dunia nanti. Hukum alam menyatakan orang muda lambat sampai ajalnya. Oleh kerana itu, beliau ingin berkahwin dengan pemuda dalam lingkungan 20-30 tahun. Tetapi beliau tidak berhasrat untuk tinggal sebumbung dengan pemuda itu dan pemuda itu berhak untuk pemilih teman hidupnya sendiri. Beliau hanya ingin kan status berkahwin di atas kertas sahaja dan pemuda yang dikahwininya itu boleh menjalankan amanah untuk menguruskan wang pencen beliau setelah beliau meninggal dunia nanti. Beliau ingin pahala jariah yang bakal diamanahkan kepada suaminya itu membantunya di akhirat kelak.
Mohon bantuan jika perkara ini dibolehkan dalam Islam atau tidak kerana saya berpendapat seperti beliau memanipulasi agama untuk kepentingan diri.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Pernikahan dalam Islam bukan hanya sekadar status sah antara suami dan isteri sahaja, tetapi ia melibatkan tujuan yang lebih besar seperti pembinaan keluarga, kasih sayang, dan tanggungjawab bersama. Matlamat perkahwinan adalah untuk membentuk keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah. Bahkan, umat Islam turut dituntut berkahwin sebagai menyanjungi saranan dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Namun begitu, mempunyai hasrat untuk berkahwin semata-mata bagi tujuan menguruskan harta pencen selepas kematian tanpa niat untuk hidup bersama sebagai suami isteri adalah sesuatu tindakan yang bersalahan dengan matlamat utama perkahwinan. Hal ini kerana, jika semata-mata hanya ingin memanfaatkan wang pencen sebagai ladang amal, maka ia tidak semestinya melalui perkahwinan. Akan tetapi, wang tersebut boleh diuruskan dengan kaedah yang lain seperti mewakafkan sebahagian harta yang dimiliki untuk manfaat masyarakat Islam atau mewasiatkan harta atau menghibahkan harta kepada yang lebih memerlukan. Sesungguhnya setiap jariah yang dilakukan dengan tujuan dan niat yang ikhlas akan dipandang di sisi Allah SWT.
Sekian, terima kasih.